BANGI: Kekuatan tadbir urus universiti bukan sahaja bergantung kepada struktur dan prosedur yang ditetapkan, sebaliknya ditentukan oleh komitmen setiap warga dalam melaksanakan tanggungjawab amanah masing-masing.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, integriti perlu menjadi teras dalam pentadbiran, pengurusan kewangan dan setiap proses membuat keputusan bagi memastikan kecemerlangan universiti terus dipertahankan.
Baginda bertitah, ketelusan, akauntabiliti dan mekanisme semak imbang perlu bergerak seiring dengan kecekapan bagi memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap institusi pengajian tinggi khususnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Titah baginda, susulan kemelut yang berlaku sejak dua tahun lalu, Lembaga Pengarah Universiti dan pengurusan UKM telah mengambil beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan mutu pentadbiran institusi berkenaan.
“Inisiatif ini meliputi penubuhan Jawatankuasa Ad Hoc Tadbir Urus serta melantik perunding bebas bagi menilai amalan tadbir urus UKM.
“Penilaian telah dijalankan selama 32 minggu merangkumi tadbir urus UKM, kewangan dan perolehan. Inisiatif ini mencerminkan kesediaan UKM untuk menerima penilaian secara objektif serta melaksanakan pembaharuan.
“Beta merakamkan penghargaan dan syabas kepada Lembaga Pengarah Universiti dan pihak pengurusan UKM atas inisiatif yang telah diambil,” titah Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Ke-54 UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM semalam.
Tuanku Muhriz yang juga Canselor UKM bertitah, kekuatan tadbir urus UKM bukan sahaja bergantung kepada struktur dan prosedur, malah perlu disokong penghayatan nilai profesionalisme, amanah, integriti dan akauntabiliti dalam kalangan seluruh warga universiti.
Menurut baginda, pembangunan Kod Tatakelakuan UKM dan panduan The UKM Way diharap dapat memperkukuh budaya kerja berteraskan nilai murni, selain memastikan pembangunan bakat serta kepimpinan dilaksanakan berdasarkan merit, kompetensi dan integriti.
“Di samping itu, beta turut menghargai inisiatif UKM menubuhkan Kursi DiRaja Tuanku Muhriz dalam bidang integriti dan tadbir urus baik serta Pusat Tadbir Urus dan Amalan Peraturan Baik. Ianya selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh integriti dan tadbir urus universiti,” titah Tuanku Muhriz.
Dalam pada itu, baginda berharap agar ilmu dan pengalaman di UKM dimanfaatkan untuk menyumbang kepada masyarakat, dengan sentiasa memelihara adab, akhlak dan prinsip kebenaran.
“Beta menyeru para graduan agar terus menuntut ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperbaharui pengetahuan bagi menghadapi perubahan sepanjang kehidupan dan kerjaya.
“Sebagai alumni, jagalah nama baik UKM dan kekalkan hubungan dengan universiti. Sumbangkanlah ilmu, pengalaman dan kepakaran demi manfaat masyarakat serta generasi akan datang,” titah baginda.
Majlis konvokesyen UKM itu turut menyaksikan Datuk Mohd Azizulhasni Awang antara 14,311 orang graduan yang menerima ijazah masing-masing.
Mohd Azizulhasni Awang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pembangunan Sukan.
Turut menerima anugerah ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf yang dikurnia Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) (Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan); Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang dianugerah Ijazah Doktor Falsafah (Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa) serta Ahmad Rizal Adnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi yang menerima Ijazah Doktor Falsafah Sains Maklumat (Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat).-UTUSAN











