14,311 graduan terima ijazah pada Konvokesyen Ke-54 UKM - Utusan Malaysia

14,311 graduan terima ijazah pada Konvokesyen Ke-54 UKM

MOHD. Azizulhasni Awang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) pada Majlis Konvokesyen Ke-54 UKM hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seramai 14,311 graduan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-54 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 30 November.

Majlis yang diadakan dalam 17 sidang di Dewan Canselor Tun Abdul Razak itu meraikan 876 penerima doktor falsafah, 265 sarjana kepakaran, 2,462 sarjana, 5,158 sarjana muda dan 5,550 diploma pascasiswazah.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, pihaknya terus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai kerjasama strategik dan inisiatif bagi mengangkat nama UKM ke persada global.

Memuatkan artikel berkaitan…

“UKM kini mempunyai kampus di Qatar, selain sedang meneroka peluang kerjasama di Timor-Leste dan Kenya bagi memperluas kehadiran universiti itu di peringkat antarabangsa.

“Jadi, pelantikan pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang sebagai Duta Global UKM sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 merupakan antara usaha memperkukuh pengiktirafan antarabangsa terhadap universiti.

“Penglibatan atlet itu di pentas sukan antarabangsa, khususnya Sukan Olimpik turut menjadi platform untuk memperkenalkan nama dan identiti UKM kepada masyarakat dunia,” katanya dalam sidang akhbar.

Beliau berkata, UKM turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat ketujuh dunia dalam Times Higher Education Sustainability Impact Ratings 2026, selain berada pada kedudukan ke-20 terbaik Asia dan keempat di Asia Tenggara dalam QS Asia University Rankings 2027.

Katanya, UKM turut mencatat kedudukan ke-130 dunia dalam QS World University Rankings 2027 manakala seramai 132 ahli akademiknya disenaraikan dalam World’s Top 2% Scientists 2026 oleh Elsevier (Stanford University).

Sufian mengingatkan graduan supaya memanfaatkan ilmu dan nilai murni yang diperoleh sepanjang pengajian untuk menyumbang kepada masyarakat serta membawa perubahan kepada negara.

Sementara itu, Mohd. Azizulhasni berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah besar yang akan dimanfaatkannya untuk membawa nama universiti ke peringkat antarabangsa.

“Pengiktirafan menerusi penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) itu juga merupakan penghormatan tertinggi sepanjang lebih 20 tahun penglibatan dalam sukan berbasikal.

“Saya berharap kerjasama ini dapat menjadi motivasi kepada atlet muda untuk mengimbangi bidang sukan dan pendidikan, selain menggalakkan mereka terus menimba ilmu sepanjang hayat,” katanya.

Mohd. Azizulhasni berkata, beliau berhasrat meneruskan pengajian bersama UKM selepas menamatkan penglibatan dalam sukan kompetitif kelak.

Majlis konvokesyen turut menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada sembilan bekas tenaga akademik UKM sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan universiti dan negara.

Selain itu, dua graduan menerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu Wan Ahmad Zuhair Wan Yusoff dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat serta S. Liviskumar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

UKM mempunyai seramai 268,641 alumni yang terus menyumbang kepada pembangunan universiti dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini