Azizulhasni bawa nama UKM ke Olimpik LA 2028 sebagai Duta Global - Utusan Malaysia

Azizulhasni bawa nama UKM ke Olimpik LA 2028 sebagai Duta Global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dilantik sebagai Duta Global Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 bagi membantu memperkukuh nama dan pengiktirafan universiti itu di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh, berkata pelantikan itu sebahagian daripada usaha universiti berkenaan memanfaatkan pengaruh atlet tersohor dunia itu untuk memperkenalkan UKM kepada masyarakat antarabangsa.

Katanya, UKM turut merancang menjadi penaja utama Azizulhasni dalam kejohanan yang disertainya sehingga Olimpik 2028, selain memperkenalkan logo universiti itu pada jersi pelumba berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mahu membawa nama baik UKM ke peringkat global dan untuk itu kita memerlukan individu terkemuka yang dikenali di seluruh dunia bagi membawa logo serta nama universiti.

“Jadi, mungkin selepas ini kita akan melihat logo UKM pada jersi Azizulhasni selain beliau turut hadir ke universiti untuk berinteraksi dengan pelajar.

“Kita mahu masyarakat dunia mengenali UKM menerusi penyertaan beliau dalam kejohanan antarabangsa sehingga Olimpik 2028,” katanya kepada media selepas Istiadat Konvokesyen Ke-54 UKM, di sini, hari ini.

Pada istiadat berkenaan, Azizulhasni menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangannya dalam bidang sukan.

Sufian berkata, kejayaan Azizulhasni turut mencerminkan kepentingan kekuatan mental, fizikal dan usaha berterusan yang selari dengan gagasan Malaysia 100 Tahun Merdeka, Tekad 57 yang diketengahkan universiti berkenaan.

Sementara itu, Azizulhasni menyifatkan penganugerahan berkenaan sebagai antara penghormatan tertinggi diterimanya sepanjang lebih 20 tahun bergelar atlet, selain menjadi motivasi dan amanah besar buat dirinya.

“Penganugerahan ini amat besar dan bermakna buat saya. Sepanjang lebih 20 tahun dalam karier sebagai atlet, saya rasa ini antara anugerah tertinggi yang bukan sahaja menjadi motivasi tetapi juga satu amanah besar.

“Sebagai Duta Global, sudah tentu menjadi tanggungjawab saya untuk membawa nama baik UKM ke peringkat antarabangsa, terutama apabila bertanding dalam kejohanan besar seperti Olimpik,” katanya.

Beliau berharap kerjasama dengan UKM turut memberi inspirasi kepada atlet muda supaya tidak hanya menumpukan perhatian terhadap pencapaian sukan, sebaliknya turut mengimbangi bidang pendidikan.

“Belajar ini tidak mengira usia, kalau boleh kita perlu belajar sepanjang hayat. Saya sendiri, insya-Allah apabila bersara daripada sukan nanti, mahu meneruskan pengajian dan kalau boleh bersama UKM,” katanya.

Pada istiadat konvokesyen itu, UKM turut menganugerahkan gelaran Prof Emeritus kepada sembilan bekas ahli akademiknya.

Mereka antara 14,311 graduan yang diraikan menerusi 17 sidang konvokesyen bermula hari ini hingga 30 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini