Sembilan tahun tersimpan, Haiza akhirnya lancar Pencuri - Utusan Malaysia

Sembilan tahun tersimpan, Haiza akhirnya lancar Pencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas hampir sembilan tahun tersimpan sejak dirakamkan pada 2017, penyanyi Haiza akhirnya mempertaruhkan single terbaharu berjudul Pencuri yang dilancarkan hari ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya menerusi genre pop-elektronik beracuan dangdut moden atau hipdut.

Lebih menarik, lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Aepul Roza itu dihasilkan selepas Haiza meminta sebuah karya baharu daripada komposer berkenaan ketika mereka sama-sama menyertai program Duo Star terbitan Astro.

Haiza berkata, Pencuri pada awalnya tidak dirancang untuk disimpan terlalu lama, namun komitmen terhadap pelbagai projek seni menyebabkan pelancarannya terpaksa ditangguhkan sebelum pandemik Covid-19 turut menjejaskan perancangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, selepas menyusun semula perancangan pada 2023, tahun ini dilihat sebagai waktu paling sesuai untuk memperkenalkan lagu berkenaan kepada pendengar.

“Pada asalnya lagu ini tidak mempunyai tajuk. Selepas mendengarnya berkali-kali, saya merasakan Pencuri paling sesuai.

“Saya mahu tampil dengan naskhah lebih santai, tidak tergesa-gesa dan tidak membuatkan pendengar penat ketika menghayatinya,” katanya yang tercalon sebagai Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-38.

Mengulas proses rakaman, Haiza berkata, lagu berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh kurang tiga jam, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut antara proses rakaman yang lancar buat dirinya.

Bagaimanapun, dia mengakui perlu memberikan perhatian lebih terhadap teknik nyanyian kerana sudah terbiasa membawakan lagu berentak rancak.

Malah, Aepul turut menitikberatkan aspek sebutan bagi memastikan setiap perkataan dalam lirik disampaikan dengan jelas dan tepat.

“Contohnya, perkataan ‘saat’ dalam lirik ‘Saat demi saat berlalu’. Aepul menegur sebutan saya supaya jelas dan tidak kedengaran seperti perkataan lain. Walaupun kedengaran hampir sama, sebutannya tetap berbeza,” katanya.

Dari segi konsep muzik, Pencuri menggabungkan elemen pop moden dengan dangdut bagi menghasilkan bunyi yang lebih segar, bersahaja dan mudah melekat dalam ingatan pendengar.

Lagu itu mengisahkan seorang wanita yang jatuh cinta pandang pertama sehingga perasaannya menjadi tidak keruan apabila hatinya dicuri.

Sementara itu, Aepul berkata, proses penghasilan lagu berkenaan mengambil masa tujuh hari untuk menghasilkan tiga draf melodi berbeza, diikuti tiga hari praproduksi sebelum rakaman akhir diselesaikan dalam tempoh lima hari.

Katanya, cabaran utama adalah mencari keseimbangan antara elemen muzik moden dengan melodi yang masih dekat dengan cita rasa pendengar muzik Melayu.

Malah, Pencuri sebenarnya dianggap mendahului trend muzik ketika mula dihasilkan pada 2017 memandangkan genre berkenaan belum mendapat perhatian meluas ketika itu.

Justeru, perubahan landskap muzik sepanjang tempoh hampir sembilan tahun menjadikan karya berkenaan dilihat lebih sesuai diperkenalkan pada masa ini.

Bagi Aepul, lagu itu juga menjadi antara percubaan awalnya dalam memperlihatkan kepelbagaian kreativiti sebagai pencipta lagu.

Tidak terhenti pada pelancaran single, Pencuri turut hadir dengan kesinambungan penceritaan menerusi muzik video yang menampilkan pelakon Ropie sebagai watak utama lelaki.

Haiza berkata, pemilihan Ropie dibuat berdasarkan hubungan yang sudah lama terjalin selain mengagumi sikap profesional pelakon berkenaan yang komited dan menepati masa sepanjang penggambaran.

Menurutnya, muzik video itu membawa penonton menyelami kisah awal perkenalan watak berkenaan sebelum kejadian yang dipaparkan dalam muzik video Young & Gentleman.

“Konsepnya ialah ‘Siapa Dia Sebelum Dia’. Pencuri menjadi episod pertama yang menceritakan bagaimana semuanya bermula,” katanya yang juga penyampai radio Kool FM.

Haiza berharap kemunculan Pencuri dapat diterima baik dan dinikmati peminat daripada pelbagai peringkat usia.

Lagu berkenaan boleh distrim menerusi platform digital, manakala muzik videonya dilancarkan pada 20 November, jam 3 petang menerusi saluran YouTube Indigital Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini