Velesto catat untung bersih RM21 juta pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Velesto catat untung bersih RM21 juta pada suku ketiga

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Velesto Energy Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM21 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, disokong hasil berjumlah RM217 juta. 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pula berjumlah RM81 juta, dipacu kadar penggunaan pelantar sebanyak 83 peratus serta purata kadar sewaan harian ialah AS$99,000 sehari.

Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, prestasi suku ketiga mencerminkan peningkatan penggunaan pelantar yang disokong prestasi operasi dan keselamatan kukuh, dengan kadar masa operasi mencapai 99.6 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, walaupun kadar sewaan harian masih berdepan tekanan, peningkatan penggunaan pelantar membantu mengurangkan kesan penurunan kadar tersebut terhadap prestasi kumpulan.

“Dengan kesemua enam pelantar dikontrak sehingga akhir 2026, NAGA 3 dijangka menyambung semula operasi pada suku keempat 2026 dan buku pesanan kukuh bernilai RM1.1 bilion, kami kekal berhati-hati optimistik terhadap prospek,” katanya menerusi makluman kepada Bursa Malaysia. 

Dalam pada itu, kumpulan turut mengisytiharkan dividen khas sebanyak 2.00 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen yang diumumkan sepanjang 2026 sebanyak 3.00 sen sesaham.

Tarikh kelayakan bagi dividen khas itu ditetapkan pada 8 Disember 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 22 Disember 2026. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini