Sebelum dikenali sebagai antara pelakon veteran yang disegani, siapa sangka Norlia Ghani sebenarnya pernah menyimpan impian untuk bergelar penyanyi.
Bermula dengan minat menyanyi dan menari sejak kecil, anak kelahiran Klang, Selangor itu tidak pernah menyangka keberaniannya menyertai pelbagai pertandingan akhirnya membuka pintu rezeki dalam dunia lakonan.
Lebih menarik, dia juga pernah menyertai pertandingan ratu cantik yang diadili barisan seniman tersohor tanah air termasuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, S. Kadarisman, Omar Rojik, Jins Shamsuddin dan Sarimah.
“Saya ini asalnya orang kampung, orang Klang. Dari kecil memang suka menyanyi dan menari. Kalau zaman dahulu ada majlis kahwin yang mempunyai pancaragam, memang saya akan menyelit untuk menyanyi.
“Saya ini orang kata agak gediklah. Tetapi gedik saya bukan bermaksud gatal seperti yang orang faham sekarang. Kalau ada orang ajak masuk pertandingan, saya masuk sahaja. Orang panggil saya Nor. Kalau ada yang beritahu sahaja kata ada pertandingan, saya akan masuk. Tidak kisahlah pertandingan menyanyi atau ratu cantik, menang atau kalah itu belakang kira,” katanya.

Menurut Norlia, kesungguhannya menyertai pertandingan ketika itu bukanlah didorong keinginan untuk mengejar populariti, sebaliknya sekadar mahu mencuba nasib dan mencari pengalaman.
“Pernah saya masuk pertandingan ratu cantik anjuran pihak bomba. Baju pun tidak ada, jadi saya pinjam baju kakak atau sewa sahaja. Saya fikir kalau menang, Alhamdulillah.
“Kalau kalah pun tidak mengapa. Sekurang-kurangnya dapat duit. Kebetulan hakim pertandingan itu semuanya orang filem. Ada P. Ramlee, S. Kadarisman, Omar Rojik, Jins Shamsuddin dan Sarimah.
“Saya memang tidak sangka boleh menang sebab ramai lagi peserta yang cantik-cantik. Tetapi, mungkin itulah pilihan hakim,” kongsinya.

Nama melonjak kerana Joyah
Pengalaman tersebut menjadi antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan pelakon berusia 78 tahun itu sepanjang perjalanan seninya sebelum berpeluang membintangi pelbagai filem tempatan.
Keadaan itu juga mendorong pelakon filem Kanchan Tirana tersebut mencuba nasib membintangi drama televisyen selepas dibawa oleh pelakon Ibrahim Din menyertai kumpulan komedi di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Saya sebenarnya bermula dengan filem. Tetapi apabila pita video mula muncul, industri filem agak perlahan dan peluang berlakon pun semakin berkurangan.
“Jadi, Ibrahim Din bawa saya ke RTM. Saya ikut kumpulan lawak dan dari situ belajar sedikit demi sedikit.
“Pada zaman itu, hanya RTM yang ada. TV3 belum wujud, apatah lagi Astro. Jadi, apabila sudah biasa dengan orang RTM, saya mula mendapat peluang berlakon drama,” jelasnya.
Tambah Norlia, peluang membintangi drama televisyen pertama berjudul Sesejuk Air di Gunung menjadi permulaan kepada satu lagi fasa penting dalam kerjaya seninya.
“Selepas drama pertama itu, mungkin pengarah nampak saya boleh membawa watak yang diberikan. Kebetulan mereka mahu menerbitkan siri baharu, iaitu Opah.
“Saya diberikan watak Joyah. Walaupun sebelum itu saya sudah berlakon filem dan bergelar seniwati, nama saya sebenarnya meletup kerana Joyah.
“Ke mana sahaja saya pergi, orang tidak panggil Norlia. Mereka panggil Joyah. Sampai nama sebenar saya pun orang sudah tidak ingat,” katanya berseloroh.
Bagi Norlia, kejayaan watak tersebut bukan sahaja memberikan pengiktirafan besar dalam kerjayanya, malah membuktikan kekuatan sesebuah karakter mampu meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan penonton.
“Saya sangat berterima kasih kepada pengarah yang memperkenalkan saya dengan watak Joyah.
“Walaupun ketika itu banyak drama bersiri lain yang bersaing, Opah masih mampu bertahan. Sampai sekarang orang masih ingat Joyah. Tetapi, kalau di luar saya bukan Joyahlah,” ujarnya.











