ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor diminta mempertimbangkan pemberian Bantuan Kasih Johor (BKJ) kepada golongan warga emas di negeri ini pada setiap fasa pelaksanaannya, seperti yang dilaksanakan pada fasa ketiga lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu disuarakan susulan maklum balas diterima pihaknya daripada golongan berkenaan sebelum ini.
“Mengambil kira maklum balas dan harapan golongan warga emas, saya ingin merayu kerajaan negeri dapat sekali lagi mempertimbangkan pemberian BKJ kepada golongan ini, sebagaimana keprihatinan yang ditunjukkan pada BKJ Fasa Ketiga.
“Sekiranya tidak dapat dilaksanakan pada Fasa Kelima, besar harapan saya agar golongan warga emas dapat dipertimbangkan dalam BKJ Fasa Keenam sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada Johor,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Johor 2027 sempena sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan peruntukan sebanyak RM263.72 juta bagi pelaksanaan 25 kategori BKJ Fasa Kelima dan Keenam yang bakal memanfaatkan lebih 820,000 penerima.
Menurut beliau, bantuan yang akan mula diagih pada Disember dan Februari depan bertujuan memastikan hasil pembangunan ekonomi negeri turut dirasai rakyat, terutama keluarga berpendapatan rendah serta golongan yang berdepan kesukaran harian.
Sementara itu, Dr. Adham yang juga bekas Menteri Kesihatan turut berkata, pihaknya menyokong penuh Belanjawan Johor 2027 kerana ia komitmen kerajaan negeri terhadap sokongan diberi rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
“Kerajaan negeri pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah adalah kerajaan yang menunaikan janji dan disokong rakyat, tetapi, sokongan ini datang bersama tanggungjawab.
“Kita mahu manifesto dijanjikan serta bajet yang diumum tidak hanya tertinggal di dalam buku, sebaliknya kedua-dua itu perlu direalisasikan dan sampai ke rumah rakyat,” katanya.-UTUSAN











