TAWAU: Dua beradik termasuk seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Ria, Lorong 11, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 6.13 pagi itu, mangsa terdiri daripada kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang menghidap autisme dan abangnya berusia 13 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.13 pagi sebelum sebuah jentera bersama anggota tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berkeluasan 20 x 30 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 70 peratus.
“Seramai enam mangsa terlibat dalam kejadian itu, dengan empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri dan keluar dari rumah sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Menurutnya, dua lagi mangsa yang masih terperangkap di dalam rumah berjaya ditemukan pasukan bomba di sebuah bilik di tingkat atas pada pukul 6.43 pagi dalam keadaan rentung.
Mengulas lanjut, beliau berkata operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan tiga pancutan sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
Jemishin berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal pada pukul 7.07 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.06 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.-UTUSAN











