Indonesia tutup 14 bank pembiayaan rakyat

Indonesia tutup 14 bank pembiayaan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia menutup 14 bank pembiayaan rakyat (BPR) dan bank pembiayaan rakyat syariah (BPRS) setakat September 2026, hampir tiga kali ganda lebih banyak berbanding lima penutupan sepanjang tahun 2025.

Tadbir urus korporat yang lemah kekal menjadi punca utama kegagalan bank, kata Lembaga Penjamin Simpanan (LPS) Indonesia semalam.

Pengerusi LPS, Anggito Abimanyu berkata, peningkatan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai petanda ekonomi menjadi lebih buruk sambil menambah, masalah pengurusan dalaman dan tadbir urus menjadi faktor utama di sebalik kegagalan BPR dan BPRS.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah bank yang dilikuidasi pada tahun 2026 meningkat berbanding 2025. Setakat September 2026, sebanyak 14 BPR dan BPRS telah ditutup, berbanding lima bank tahun lepas.

“Pengajaran penting adalah kegagalan bank tidak sentiasa berpunca daripada keadaan ekonomi. Pemantauan kami menunjukkan tadbir urus yang lemah telah menjadi punca utama dalam kes-kes yang kami kendalikan,” kata Anggito di Jakarta.

BPR dan BPRS merupakan institusi kewangan lebih kecil yang berkhidmat untuk isi rumah, perniagaan mikro dan kecil, serta komuniti tempatan.

Berbeza dengan bank perdagangan, BPR mempunyai aktiviti perbankan yang lebih terhad dan tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan transaksi pembayaran.

Institusi kewangan itu memainkan peranan penting dalam meluaskan perkhidmatan kewangan kepada komuniti dan perniagaan yang mempunyai akses terhad kepada bank-bank yang lebih besar.

Sebagai maklum balas kepada peningkatan jumlah penutupan tersebut, LPS sedang mempercepatkan bayaran deposit insurans dan prosedur likuidasi bagi memastikan pelanggan memperoleh semula simpanan layak mereka secepat mungkin.

Agensi tersebut juga bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kewangan(OJK) untuk memperkukuhkan sistem amaran awal dan meningkatkan kesiapsiagaan dalam mengendalikan bank-bank bermasalah.

Fokus utama adalah untuk mengenal pasti masalah sebelum ia berkembang menjadi kegagalan yang boleh memudaratkan penyimpan.

“Matlamat kami bukanlah untuk meningkatkan jumlah likuidasi tetapi untuk mencegah kegagalan bank seawal mungkin dan memastikan pelanggan yang layak mendapat semula simpanan mereka,” kata Anggito.

Di bawah kerangka insurans deposit Indonesia, LPS menjamin deposit pelanggan yang layak sehingga 2 bilion rupiah(sekitar RM556,000) bagi setiap penyimpan per bank, tertakluk kepada keperluan termasuk had deposit, kadar faedah terpilih, dan status niat baik penyimpan.

Selain mengendalikan bank yang gagal, LPS sedang menyediakan sokongan teknologi maklumat, termasuk sistem perbankan teras khas untuk BPR dan BPRS, bagi meningkatkan tadbir urus di seluruh sektor perbankan luar bandar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini