Lima pegawai TUDM ditahan, seludup dadah RM4.83 juta

Lima pegawai TUDM ditahan, seludup dadah RM4.83 juta

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan 11 individu termasuk lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan enam orang awam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua tangkapan dilakukan menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah, pada 17 November lalu.

Beliau berkata, kejayaan membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan itu hasil kerjasama risikan strategik antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan bagi menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa khususnya Filipina dan Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur serta menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.

“JSJN kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi serta mengenal pasti pihak lain yang terbabit,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut beliau, risikan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM sebagai laluan penyeludupan dadah.

Katanya, modus operandi itu menunjukkan sindiket terbabit sanggup mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara demi kepentingan jenayah.

Hussein berkata, kesemua lima pegawai TUDM yang ditahan direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini manakala enam individu awam direman antara dua hingga lima hari.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada individu awam terbabit positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Rampasan dadah itu dianggarkan berpotensi menjejaskan sehingga 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran,” jelasnya.

Tambah beliau, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua kenderaan, masing-masing jenis Honda CR-V dan Toyota Vios, yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM126,062.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang daripada 12 kali sekiranya disabitkan kesalahan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini