Hasrat Muhammad Aidil derma organ jadi kenyataan – Ibu

Hasrat Muhammad Aidil derma organ jadi kenyataan – Ibu

SHARIFAH Mat Saud menunjukkan gambar arwah Muhammad Aidil Ahmad Zupar di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hasrat seorang pemuda yang mahu menderma organnya tercapai selepas dia me­ninggal dunia akibat kemalangan kerana kecederaan di otak pada malam Isnin lalu di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini.

Ibunya, Sharifah Mat Saud, 62, berkata, anak bongsunya, Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, akan menderma beberapa organ dalamannya kepada beberapa pesakit yang sedang menunggu di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, di sini.

Katanya, dia masih mengingati perbualan arwah yang pernah menyatakan keinginan untuk menderma organ bagi membantu pesakit yang memerlukan, namun tidak menyangka perkara itu akhirnya berlaku kepada anaknya sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Arwah yang juga bekerja di sebuah kafe pernah sebut, kalau diberi peluang untuk menderma organ, dia sanggup menderma dan saya tidak fikir perkara itu akan berlaku kepadanya.

“Pemergian anak bongsu daripada empat beradik ini amat sukar diterima keluarga memandang­kan arwah dikenali sebagai seorang anak yang baik, peramah dan disenangi ramai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Menurut Sharifah, arwah Muhammad Aidil adalah pemegang Diploma Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempunyai minat mendalam terhadap motosikal selain bercita-cita me­nyambung pengajian pada masa hadapan selepas berehat seketika daripada dunia akademik.

Katanya, keputusan menderma organ itu dicapai selepas keluarga berbincang hasil penjelasan terperinci daripada pakar mengenai keadaan arwah yang disahkan mengalami kematian otak walaupun organ-organ lain masih berfungsi dengan bantuan mesin sokongan hayat.

“Kami sekeluarga merasakan tiada salahnya organ Muhammad Aidil didermakan kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ dan mungkin ini menjadi amal jariah yang berterusan buatnya,” katanya.

Beliau berkata, doktor memaklumkan bukan semua pesakit sesuai menjadi penderma organ kerana ia bergantung kepada tahap kesihatan organ berkenaan, namun keadaan organ arwah didapati berada dalam keadaan baik dan layak untuk didermakan.

Katanya, keluarga menzahirkan penghargaan kepada HPUSM pasukan pakar dan petugas kesihatan yang menguruskan kebajikan arwah sepanjang menerima rawatan sehingga proses pendermaan organ dilaksanakan.

“Kami terharu apabila hospital menyalakan lampu hijau sebagai simbol penghormatan kepada arwab, sekali gus membuktikan bahawa pengorbanan penderma organ dihargai sebagai jasa besar yang mampu memberi harapan dan kehidupan baharu kepada insan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini