BAGAN DATUK: Kerang rasa lebih manis, tekstur lebih kenyal selain saiznya yang besar berbanding kerang dari kawasan lain menjadikan kerang dari pesisir pantai Perak, khususnya Bagan Datuk, semakin Mandapat tempat dalam kalangan penggemar makanan laut.
Nelayan, Mohamad Faisol Mohamad Nahar, 31, berkata, dia tidak menyangka hasil tangkapan kerang Sungai Perak mampu mencecah sehingga 200 kilogram sehari, sekali gus memberi pulangan lumayan.
Menurutnya, dia biasanya turun ke laut seawal pukul 8 pagi dan pulang kira-kira pukul 6 petang, namun hasil yang diperoleh kadangkala begitu banyak sehingga menyebabkan botnya senget akibat menampung berat kerang.
Katanya, keistimewaan rasa kerang Bagan Datuk yang lebih manis dan bersaiz besar sering menjadi sebutan pelanggan, sekali gus menjadikannya pilihan ramai.
“Permintaan memang tinggi sehingga ada pelanggan datang sendiri ke rumah untuk membeli kerang, khususnya bagi dijadikan kerang rebus.
“Selain pelanggan persendirian, kedai makan, pengusaha nasi lemak dan restoran turut mendapatkan bekalan kerang untuk dijadikan menu tarikan kepada pelanggan,” katanya.
Mohamad Faisol berkata, ketika musim kerang, dia mampu memperoleh sehingga 100 hingga 200 kilogram dalam tempoh beberapa jam sahaja, termasuk ketika turun ke sungai pada pukul 2 petang dan pulang kira-kira pukul 5 petang.
Menurutnya, hasil jualan boleh mencecah antara 100 hingga 200 kilogram sehari, manakala perniagaannya kini membekalkan kira-kira 100 kilogram kerang kepada pemborong di Pantai Remis, Pasir Panjang, Sungai Besar di Selangor, Teluk Intan dan sekitar Ipoh.
Dia bersyukur kerana usaha yang dilakukan selama ini mula membuahkan hasil, sekali gus membolehkan rezeki dikongsi bersama keluarga. – UTUSAN











