KUALA LUMPUR: Atlet muay thai negara akhirnya bakal menikmati elaun khas Majlis Sukan Negara (MSN) selepas bertahun-tahun tidak menerima kemudahan itu kerana menjalani program latihan berfasa.
Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, kelulusan berkenaan merupakan perkembangan positif selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama MSN bagi memperkukuh persiapan menghadapi Sukan SEA 2027.
Menurutnya, seramai 21 atlet sudah dikenal pasti untuk menjalani program persiapan, dengan sasaran tiga pingat emas pada temasya di Sarawak, manakala jumlah elaun setiap atlet akan ditentukan berdasarkan pencapaian masing-masing.
“Antara nama dalam senarai awal ialah Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, Mohammad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azrilrizal.
“Kami memang tidak pernah mendapat elaun atlet selama bertahun-tahun kerana muay thai bukan program latihan sepenuh masa. Namun, MSN kini memberikan sokongan penuh kepada kami.
“Atlet akan menerima elaun khas berdasarkan pencapaian mereka. Kadarnya tidak sama, ada yang boleh mendapat RM4,000, RM2,000 atau RM1,500 mengikut skim yang ditetapkan MSN,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Beliau berkata, atlet yang belum mempunyai pencapaian di Sukan SEA atau kejohanan dunia boleh menerima elaun minimum RM1,500, manakala penilaian turut mengambil kira keputusan kejohanan Persekutuan Persatuan Muaythai Antarabangsa (IFMA).
Katanya, atlet akan terus berlatih di gimnasium masing-masing dengan sokongan MSN untuk kejohanan antarabangsa, manakala Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar dijangka bakal mendapat kontrak Rajadamnern World Series (RWS) di Bangkok.
“Ahmad Nor Iman Aliff Rakib pula akan bertarung merebut tali pinggang kejuaraan menentang Prajanchai dalam ONE Championship bulan depan. Atlet kita akan terus menyertai pertandingan masing-masing sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Shahnaz berkata, atlet akan berkumpul pada Januari depan bagi menyelaraskan persiapan bersama Institut Sukan Negara (ISN), termasuk latihan kecergasan, pengurusan berat badan dan analisis video.
“Kita turut memohon perubahan beberapa kategori pertandingan Sukan SEA berdasarkan pencapaian atlet di Greece dan Kosovo bagi meningkatkan peluang meraih tiga emas, sebelum buku panduan teknikal dimuktamadkan,” katanya. – UTUSAN











