KPKM pantau harga barang, tambah stok ikan hadapi El Niño

KPKM pantau harga barang, tambah stok ikan hadapi El Niño

MOHAMAD Sabu ketika sidang media selepas Forum Keterjaminan Makanan di Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memantau pergerakan harga bekalan makanan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kenaikan mendadak menjelang musim banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, agensi berkaitan akan mendapatkan maklumat mengenai pergerakan harga barangan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kenaikan tidak munasabah.

Beliau berkata, setakat ini kementerian belum menerima sebarang laporan mengenai kenaikan harga barangan secara mendadak, sebaliknya terdapat barangan tertentu termasuk telur yang menunjukkan sedikit penurunan harga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini kita belum menerima laporan kenaikan mendadak. Ada kenaikan biasa bagi sesetengah barangan, tetapi harga telur sekarang agak turun sedikit berbanding biasa.

“Jika berlaku keadaan seperti itu ketika musim banjir, kita akan mendapatkan maklumat dan bertindak segera,” katanya selepas Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, kerajaan turut membuat persediaan menghadapi fenomena El Niño yang dijangka berlaku dari Disember hingga April depan.

Katanya, fenomena cuaca panas itu berpotensi menyebabkan ikan bergerak ke kawasan laut lebih dalam sekali gus menjejaskan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan pantai.

Sehubungan itu, kerajaan akan memperbanyakkan stok ikan sejuk beku menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pihak swasta bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.

“Setakat ini, stok ikan kita mencukupi dan saya meletakkan supaya tidak timbul kebimbangan mengenai kekurangan bekalan ikan pada waktu itu.

“Bekalan ikan sejuk beku itu termasuk yang akan dibawa dari Sabah kerana harga ikan di sana agak murah,” katanya.

Beliau berkata, kementerian turut memberi taklimat kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan golongan petani supaya membuat persediaan awal menghadapi kemungkinan kesan fenomena El Niño.

Katanya, kerajaan akan terus memantau keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan cuaca serta kesannya terhadap sektor pertanian dan perikanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini