PETALING JAYA: Jumlah jualan kenderaan baharu di Malaysia mencatatkan penurunan tujuh peratus kepada 70,519 unit pada Oktober 2026 berbanding 75,991 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, penyusutan itu didorong kemerosotan jualan kenderaan penumpang dan kenderaan perdagangan masing-masing sebanyak tujuh peratus dan sembilan peratus.
Menurutnya, bagaimanapun, jumlah jualan pada Oktober meningkat 1.3 peratus berbanding September, disokong pertumbuhan dalam kedua-dua segmen berkenaan.
“Jualan kenderaan penumpang meningkat empat peratus secara bulanan, manakala kenderaan perdagangan berkembang lapan peratus.
“Jualan trak pikap turut meningkat kepada 3,740 unit, iaitu paras tertinggi dicatatkan sepanjang tahun ini, sekali gus menyumbang kepada pemulihan permintaan dalam segmen kenderaan perdagangan,” katanya dalam kenyataan.
MAA berkata, pelaksanaan program BUDI Diesel oleh kerajaan turut membantu memulihkan permintaan terhadap kenderaan perdagangan.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat tiga peratus kepada 673,412 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan itu disokong pertumbuhan jualan kenderaan penumpang sebanyak empat peratus, meskipun segmen kenderaan perdagangan mencatatkan penyusutan 12 peratus.
“Sementara itu, pengeluaran kenderaan pada Oktober meningkat tiga peratus kepada 67,416 unit berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong pertumbuhan dalam segmen kenderaan penumpang.
“Sebaliknya, pengeluaran kenderaan perdagangan merosot lima peratus,” katanya.
Katanya, secara kumulatif, pengeluaran kenderaan bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini meningkat dua peratus kepada 629,623 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
Mengulas prospek industri, MAA menjangkakan momentum pertumbuhan jualan akan berterusan pada November, disokong prospek ekonomi yang positif serta promosi jualan sempena penghujung tahun. – UTUSAN








