Untung bersih Petronas Gas melonjak kepada RM630.54 juta

Untung bersih Petronas Gas melonjak kepada RM630.54 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Gas Bhd. (PGB) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM630.54 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, berbanding RM444.22 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Menurut PGB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lonjakan keuntungan bersih itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh margin yang lebih baik dalam segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula yang merekodkan hasil lebih tinggi.

“Bagaimanapun, hasil keseluruhan kumpulan susut sedikit kepada RM1.60 bilion berbanding RM1.61 bilion pada suku sama tahun sebelumnya, disebabkan oleh hasil lebih rendah daripada segmen utiliti susulan penurunan jumlah jualan bagi semua produk berikutan permintaan yang lebih lemah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, lembaga pengarah syarikat meluluskan dividen interim ketiga sebanyak 18 sen sesaham biasa, berjumlah RM356.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 yang akan dibayar pada 23 Disember depan,” katanya. 

Sementara itu, bagi tempoh terkumpul sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih PGB meningkat kepada RM1.52 bilion berbanding RM1.36 bilion sebelum ini, manakala hasil merosot kepada RM4.69 bilion daripada RM4.80 bilion.

PGB berkata, kumpulan dijangka mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi keseluruhan tahun 2026, disokong oleh pendapatan stabil daripada perniagaan yang dikawal selia serta berasaskan kontrak jangka panjang di samping kecemerlangan operasi berterusan.

“Prestasi kumpulan turut disokong oleh sumbangan yang semakin meningkat daripada portfolio perniagaannya yang pelbagai dan kesan sekali sahaja (one-off) yang menguntungkan sepanjang tahun ini.

“Bagi baki suku tahun ini, aktiviti penyelenggaraan yang lebih tinggi akan menyokong program berterusan kumpulan dalam memastikan kebolehpercayaan aset dan jaminan keselamatan,” katanya.

Menurut syarikat itu, pihaknya kekal fokus untuk memperkukuh daya tahan operasi, kecemerlangan komersial dan daya saing kos, selain memajukan inisiatif pertumbuhan strategik bagi memberikan nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang saham. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini