Kementerian Pertahanan perkenal sistem aduan integriti

Kementerian Pertahanan perkenal sistem aduan integriti

KHALED Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memperkenalkan sistem aduan integriti dan melantik pegawai perhubungan integriti dalam usaha membanteras salah laku, ketirisan kewangan serta penyalahgunaan kuasa dalam kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti serta menutup ruang kelemahan yang boleh mendedahkan kementerian dan ATM kepada isu berkaitan integriti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai 34 pegawai yang dilantik daripada pelbagai bahagian dan jabatan akan memastikan agenda integriti kementerian dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk di peringkat operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2026 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, integriti amat penting khususnya kerana kementerian bertanggungjawab menguruskan dana awam dan aset strategik pertahanan yang membabitkan nilai sangat besar.

“Setiap peruntukan mesti diuruskan dengan baik, setiap prosedur perlu dipatuhi, setiap maklumat mesti dilindungi dan setiap operasi pertahanan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa ketirisan kewangan dan penyalahgunaan kuasa boleh melemahkan organisasi, mengurangkan keberkesanan sumber serta menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan dalam jangka panjang.

Lebih penting, katanya, pelanggaran integriti boleh menghakis keyakinan awam dan menjejaskan reputasi kementerian serta ATM.

Bagi menangani risiko itu, Mohamed Khaled berkata kementerian turut memperkenalkan penambahbaikan dalam tadbir urus perolehan, termasuk komposisi Lembaga Perolehan dan jawatankuasa berkaitan serta mekanisme penilaian mengikut keperluan Kementerian Kewangan.

“Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan diteruskan melalui program advokasi, literasi dan pendidikan integriti setiap tahun.

“Di peringkat ATM, kerjasama strategik dengan SPRM diperkukuh lagi menerusi Nota Kerjasama yang ditandatangani kedua-dua institusi pada 19 Oktober lalu.

“Kerjasama itu akan meningkatkan mekanisme risikan, penyiasatan dan perkongsian maklumat bagi menyokong usaha mencegah pelanggaran integriti,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled menegaskan bahawa isu integriti bukan hanya berkaitan usaha mencegah kesalahan besar seperti rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, sebaliknya turut menuntut disiplin dalam tingkah laku seharian.

“Lewat datang ke pejabat, tidak menggunakan masa bekerja dengan baik, culas menyiapkan tugasan, mencuri tulang, bersembang kosong semasa bertugas dan mengabaikan tanggungjawab secara sengaja.

“Bagi anggota ATM pula, yang tidak mengendalikan aset secara cermat atau yang menjalankan operasi sambil lewa di sempadan atau perairan negara hanya kerana tiada pegawai atasan yang melihat atau memantau. Semua ini mungkin dilihat dan dianggap kecil, tetapi ia sebenarnya berpotensi menjadi satu isu integriti yang serius,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini