Deretan rumah tradisional yang masih utuh berdiri dengan seni bina warisan Melayu, dihiasi laman berwarna-warni dan pepohon menghijau, menjadikan Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk antara perkampungan yang memiliki keistimewaan tersendiri.
Keindahan kampung yang terletak di antara kawasan Hutan Melintang dan Bagan Datuk itu bukan sahaja terletak pada suasananya yang tenang dan mendamaikan, malah keupayaan penduduk mengekalkan keaslian rumah tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun.
Meskipun berhadapan arus pemodenan, beberapa rumah kayu berusia ratusan tahun masih dipelihara dengan baik oleh pemiliknya, sekali gus menjadi khazanah warisan yang menyerlahkan identiti masyarakat setempat.
Keunikan itu turut diserikan dengan deretan pokok kelapa yang menghiasi persekitaran kampung, selain tanaman pokok puding berdaun berwarna-warni di sepanjang jalan yang memberikan suasana lebih ceria dan nyaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Batang, Ahmad Nasuha Marsom berkata, kampung itu terbahagi kepada lima kawasan iaitu Sungai Batang Darat, Sungai Batang Tengah, Sungai Batang Baruh, Sungai Batang Baruh 2 dan Sungai Siput.
Menurutnya, keistimewaan kampung berkenaan bukan sahaja pada keindahan persekitarannya, tetapi juga keprihatinan penduduk yang terus menjaga rumah tradisional sebagai warisan berharga untuk generasi akan datang.
“Kampung ini indah dan cantik. Sepanjang jalan dihiasi pokok puding yang mempunyai daun berwarna-warni selain rumah tradisional yang masih dijaga dengan baik.
“Rumah kampung ini turut menjadi tarikan kepada pelancong asing selain menjadi warisan untuk tatapan generasi akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keaslian seni bina rumah tradisional Melayu yang masih dikekalkan menjadikan Kampung Sungai Batang mempunyai identiti tersendiri, sekali gus membezakannya daripada perkampungan lain.
Katanya, usaha mencantikkan kawasan kampung turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sering memberikan cadangan dan nasihat supaya penduduk menjaga kebersihan serta memperindah kawasan kediaman masing-masing.
“Bagan Datuk mempunyai banyak kampung yang indah dan cantik, malah ada yang pernah memenangi pertandingan sempena sambutan Hari Kebangsaan serta pertandingan kampung cantik.
“Di laman dan sekeliling rumah tradisional di sini, penduduk menanam pelbagai jenis bunga yang menjadikan kawasan kediaman lebih menarik dan sering dikunjungi pelancong,” katanya.
Keindahan warisan itu dapat dilihat menerusi sebuah rumah kayu berusia lebih 100 tahun yang dikenali sebagai Rumah Merah, milik Yahaya Kaimi, 70, yang merupakan pewaris generasi ketiga kediaman berkenaan.
Yahaya berkata, rumah yang didiaminya bersama isteri dan anak itu sudah wujud sebelum kelahirannya pada 1950 dan diwarisi daripada ayah serta datuknya.
Katanya, meskipun sudah berusia lebih seabad, struktur rumah berkenaan masih kukuh dan keunikan seni binanya membuatkan beliau terus menghargai kediaman peninggalan keluarga itu.
“Mengikut cerita orang-orang lama, kawasan ini dahulunya hutan, malah ada yang memberitahu harimau serta babi hutan sering berkeliaran di tempat ini.
“Sebab itu banyak rumah di kampung ini mempunyai tiang tinggi supaya binatang liar yang dahulunya menjadi penghuni hutan sekeliling tidak boleh masuk ke dalam rumah,” katanya.
Menurutnya, Rumah Merah dibina di atas keluasan kira-kira 200 kaki persegi dengan ciri seni bina tradisional yang masih dapat dilihat menerusi tangga, anjung dan tingkap berdaun yang menjadi identiti rumah Melayu lama.
Bagaimanapun, beberapa pengubahsuaian dilakukan mengikut keperluan keluarga tanpa menghilangkan ciri asal rumah berkenaan, termasuk menambah bilangan bilik tidur daripada dua kepada empat.
Ruang dapur yang sebelum ini terletak di bahagian atas pula dipindahkan ke bawah rumah, manakala ruang tamu diluaskan kira-kira 10 kaki menggunakan papan kayu bagi memberikan keselesaan kepada penghuni.
Bukan sekadar bangunan kayu yang menyimpan sejarah keluarga, kawasan laman rumah itu turut menjadi tarikan menerusi landskap bunga-bungaan berwarna-warni yang diusahakan sendiri oleh Yahaya.
Beliau turut membina sebuah pondok santai menggunakan kayu dan papan sebagai tempat berehat sambil menikmati keindahan halaman rumah yang dihiasi pelbagai jenis tanaman.
Yahaya berkata, beliau paling gemar menikmati suasana awal pagi kerana udara yang sejuk dan nyaman, selain aroma bunga-bungaan yang memberikan ketenangan ketika berada di rumah berkenaan.
“Saya suka tidur di bahagian atas kerana lebih sejuk. Ada ketikanya menggigil kesejukan jika tanpa selimut.
“Rumah ini dahulu pernah dijadikan lokasi penggambaran drama oleh pengarah drama Cina, Drama Indonesia dan sering dikunjungi oleh artis legenda, arwah Dato M. Daud Kilau apabila arwah balik kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk.
Rumah ini juga sering dikunjungi pasangan pengantin baharu untuk merakam gambar perkahwinan serta rombongan dari luar daerah berhenti mengambil gambar kenangan,” katanya.-UTUSAN











