PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kejadian seorang lelaki maut selepas berlaku insiden berbalas tembakan antara polis dan sekumpulan penjenayah di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Ipoh, Perak awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjalankan rondaan pencegahan jenayah samun.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pada awalnya, polis menahan kenderaan dinaiki suspek sebelum seorang daripada mereka keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri.
Katanya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis menyebabkan anggota terlibat terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri sehingga ancaman keselamatan berjaya dikawal.
“Suspek yang mengalami kecederaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira pukul 3.40 pagi. Sepucuk pistol turut ditemukan berhampiran lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh meningkat kepada 20 tahun sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak memanipulasi fakta sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Satu sidang akhbar berhubung kejadian dijadualkan berlangsung di IPK Perak pada pukul 3 petang ini bagi memberikan penjelasan lanjut,” katanya.-UTUSAN











