Bimbang hilang ‘periuk nasi’, Ada yang takut bersuara - Diana Danielle - Utusan Malaysia

Bimbang hilang ‘periuk nasi’, Ada yang takut bersuara – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOHONG kalau dikatakan dunia seni hiburan tidak ada sisi gelapnya. Sebagai contoh, wujud isu gangguan seksual yang bukan sahaja meninggalkan kesan kepada mangsa, malah berpotensi meragut peluang pekerjaan dan masa depan kerjaya seseorang anak seni.

Lebih membimbangkan, ketiadaan sistem kawal selia serta saluran aduan khusus dalam industri hiburan tanah air menyebabkan penggiat seni, khususnya pendatang baharu, berdepan kesukaran untuk tampil membuat laporan kerana bimbang dipinggirkan pihak produksi.

Menyentuh isu berkenaan, pelakon, Diana Danielle berpendapat gangguan seksual bukanlah masalah eksklusif industri hiburan, sebaliknya boleh berlaku dalam mana-mana sektor pekerjaan mahupun persekitaran kehidupan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Diana, perbuatan tidak bermoral seperti itu berpunca daripada sikap jijik segelintir manusia yang boleh ditemui di mana-mana sahaja.

“Okey, saya faham bahawa isu-isu serangan seksual, termasuk perbuatan meraba-raba, merupakan perkara yang boleh berlaku dalam mana-mana industri sebenarnya.

“Kadangkala, di bangku sekolah pun ramai kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual ini kerana, bagi saya perkara ini merupakan perangai jijik manusia yang boleh berlaku di mana-mana sahaja. Jadi, kita tidak boleh meletakkan atau melabelkan isu ini seolah-olah hanya berlaku dalam industri kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Diana tidak menafikan industri hiburan mempunyai kerentanan tersendiri berikutan ketiadaan sistem kawal selia dan mekanisme aduan yang jelas seperti diamalkan dalam sektor korporat.

Jelasnya, ketiadaan bahagian sumber manusia (HR) atau badan khusus untuk menerima aduan menyebabkan mangsa sukar mendapatkan pembelaan, apatah lagi apabila berdepan individu yang mempunyai pengaruh dalam menentukan peluang pekerjaan.

“Dalam industri lain, kita mempunyai bahagian sumber manusia (HR) untuk membuat aduan. Contohnya, ‘Saya sudah menjadi mangsa gangguan seksual dan ingin membuat aduan.’

“Namun, dalam industri kita, tiada tempat khusus untuk mengadu. Jika mahu membuat aduan sekalipun, kadangkala kita mungkin kehilangan peluang pekerjaan kerana wujudnya kelompok-kelompok tertentu dalam industri ini, termasuk kelompok produksi. Jadi, perkara itu agak sukar, terutamanya bagi mereka yang baru hendak membina nama,” ujarnya.

Sehubungan itu, pelakon berkenaan menegaskan pengalaman mangsa tidak seharusnya dipandang ringan atau dinafikan hanya kerana mereka belum mempunyai nama besar dalam industri.

Sebaliknya, semua pihak perlu memainkan peranan dengan memberikan ruang kepada mangsa untuk bersuara tanpa perlu bimbang kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan semata-mata kerana tindakan mereka mendedahkan perbuatan tidak bermoral.

“Apa yang penting ialah kita perlu sentiasa memberikan ruang dan suara kepada mangsa-mangsa supaya mereka tidak kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan hanya kerana kita mahu melindungi individu yang melakukan perbuatan tersebut.

“Itulah yang menjadikan perkara ini sukar. Walaupun mangsa tersebut merupakan pelakon baharu atau individu di belakang tabir yang kita tidak kenali, kita sepatutnya membantu mereka. Sebaliknya, ada kalanya kita meminggirkan mereka dan menyuruh mereka berdiam diri. Industri ini tidak mempunyai sistem kawal selia yang jelas, dan itulah yang menyukarkan keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, Diana turut menyentuh kecenderungan segelintir individu menggunakan media sosial untuk mendedahkan pengalaman gangguan seksual yang didakwa dialami mereka.

Baginya, tindakan menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyuarakan kesalahan yang melibatkan undang-undang bukanlah sesuatu yang salah, namun setiap pendedahan perlu dibuat secara berhati-hati dan disokong bukti yang bersesuaian.

Diana berpandangan, laporan polis, dokumen mahkamah serta keterangan saksi antara perkara yang boleh membantu menyokong sesuatu dakwaan sebelum tindakan lebih lanjut diambil.

Mengakui bukan mudah untuk seseorang yang menjadi mangsa mengawal emosi, Diana berkata perasaan marah, kecewa dan teraniaya boleh mendorong mereka membuat pendedahan secara terbuka sebagai usaha mendapatkan pembelaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan tindakan tanpa pertimbangan sewajarnya boleh membawa kesan sebaliknya sekiranya dakwaan yang dikemukakan tidak dapat dibuktikan.

“Perkara ini agak rumit kerana mungkin kita sedang berada dalam keadaan marah dan terluka sebagai mangsa. Kita mahu meluahkan perasaan dan menjatuhkan individu tersebut. Itu merupakan reaksi yang normal kerana kita merasakan diri ditindas.

“Saya sendiri mempunyai perasaan seperti itu jika ditindas dalam apa-apa situasi sekalipun. Namun, tindakan tersebut boleh memakan diri sendiri kerana jika kita tidak dapat membuktikan dakwaan di mahkamah, kita pula mungkin perlu membayar pampasan kepada individu yang dituduh itu,” katanya.

Justeru, Diana menasihatkan mereka yang berdepan situasi sedemikian supaya bijak mengatur langkah dengan mengumpulkan bukti, mendapatkan keterangan saksi dan membuat laporan menerusi saluran sewajarnya.

Katanya, tindakan terburu-buru mengeluarkan kenyataan di media sosial tanpa mempertimbangkan implikasi undang-undang boleh membuka ruang kepada pihak yang didakwa untuk mengambil tindakan balas.

“Kita perlu mengumpulkan bukti dan menggunakan saluran yang betul. Pada masa yang sama, kita perlu berhati-hati dengan setiap perkara yang kita katakan kerana individu tersebut mungkin akan menggunakan semula kata-kata kita terhadap kita.

“Jadi, kita perlu bersabar dalam usaha mendapatkan keadilan. Memang perkara itu bukan mudah. Mudah untuk berkata-kata, tetapi sukar untuk melaksanakannya. Namun, jika kita benar-benar mahu mendapatkan keadilan, itulah cara yang terbaik.

“Jika kita mahu menjatuhkan seseorang atau mengambil apa-apa tindakan sekalipun, pastikan terlebih dahulu bahawa segala dakwaan tersebut telah dibuktikan sepenuhnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini