Anak mohon sumbangan RM85,000 bawa pulang ibu dari Jeddah

Anak mohon sumbangan RM85,000 bawa pulang ibu dari Jeddah

ROHANI Hashim (duduk) sebelum ini dilaporkan koma di Hospital King Fahd, Jeddah, Arab Saudi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Anak kepada seorang warga emas yang sebelum ini dilaporkan koma di Hospital King Fahd, Jeddah, Arab Saudi, memohon bantuan kewangan berjumlah RM85,000 bagi menampung kos untuk membawa ibunya pulang ke tanah air.

Rohani Hashim, 71, dari Kampung Baru Batu 18, Titi Tinggi, sebelum ini dikejarkan ke hospital berkenaan selepas mengalami keletihan dan rebah secara tiba-tiba di lapangan terbang ketika mahu berlepas pulang ke tanah air selepas selesai mengerjakan umrah pada Ahad lalu.

Anaknya, Shuhairi Samsudin, 45, berkata, dia bersyukur ibunya kini sudah menunjukkan perkembangan positif dan dijangka berlepas ke Jeddah pada Jumaat bagi menguruskan urusan keluar wad.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, perkembangan hari ini mak sudah sedar. Sebelum berangkat mengerjakan umrah mak sihat sahaja, cuma dia memang sudah lama menghidap penyakit kencing manis.

“Saya mohon orang ramai mendoakan kesembuhan untuk mak supaya dia boleh dibawa pulang ke Malaysia secepat yang mungkin,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Suhairi, kos keseluruhan bagi membawa ibunya pulang hanya akan diketahui selepas pihaknya berbincang secara terus dengan doktor di sana berhubung tahap kesihatan Rohani ketika ini.

Ujarnya, buat masa ini, urusan visa sudah diselesaikan namun pihaknya amat memerlukan sumbangan kewangan bagi menampung perbelanjaan dan kos perubatan yang tinggi.

“Berdasarkan anggaran awal syarikat perkhidmatan pemindahan perubatan pesakit, kos menaiki penerbangan komersial menggunakan pengusung berserta pasukan perubatan dan peralatan oksigen dijangka mencecah RM85,000.

“Pilihan kedua pula menelan belanja sekitar RM32,000 sekiranya keadaan mak mengizinkan dia untuk penerbangan kelas perniagaan dengan diiringi doktor, namun semuanya bergantung kepada kelulusan dan nasihat perubatan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN): 0212041100039691 (Shuhairi Samsudin) atau berhubung di talian 012-5662054 untuk sebarang maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini