Penternak ikan pasang jaring tambahan hadapi ancaman banjir

Penternak ikan pasang jaring tambahan hadapi ancaman banjir

Ismail Abd Rahman memeriksa jaring tambahan yang dipasang di sekitar kolamnya di Kampung Bukit Keluang, Besut, Terengganu. UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Pengalaman menanggung kerugian sehingga RM500,000 akibat banjir pada Januari 2021 mendorong seorang penternak ikan sangkar mengambil langkah berjaga-jaga memasang jaring tambahan bagi mengelakkan ikan ternakannya terlepas ketika musim tengkujuh.

Ismail Abd Rahman, 53, berkata, langkah itu dilakukan sejak awal bulan ini sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar dan limpahan air sungai yang dijangka berlaku bulan depan.

Menurutnya, kawasan Kampung Bukit Keluang yang menjadi lokasi perusahaan ternakannya berisiko dilanda banjir setiap tahun, terutama apabila air laut pasang tinggi bertembung dengan peningkatan paras air sungai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangkaan air pasang tinggi pada Disember ini boleh mencecah sehingga tiga meter di kawasan pantai timur, jadi kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini.

“Saya memasang jaring setinggi satu meter sebagai langkah menghalang ikan daripada terlepas apabila air melimpah, namun jika banjir berlaku di luar jangkaan, risiko ikan terlepas tetap ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Pantai Timur berkata, kaedah pemasangan jaring itu adalah hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukannya sendiri berdasarkan pengalaman menghadapi banjir setiap tahun.

Katanya, jaring khas yang dibeli dari Thailand dengan harga lebih RM1,000 itu dipasang bagi membantu mengawal pergerakan ikan apabila berlaku percampuran air masin dan air tawar.

“Apabila air tawar melimpah masuk ke kawasan ternakan, ikan air masin biasanya akan berada di bahagian bawah, jadi pemasangan jaring ini membantu mengurangkan risiko ikan terlepas,” katanya.

Mengimbas kejadian banjir pada Januari 2021, Ismail berkata, paras air ketika itu pernah mencecah sehingga ke leher dan menyebabkan kerugian dianggarkan RM500,000.

Katanya, ketika itu dia menternak kira-kira 11,000 ekor ikan kerapu hibrid dan 30,000 ekor ikan siakap yang ditempatkan dalam 24 sangkar di dalam kolam.

“Ketika itu ikan sudah hampir boleh dituai, tetapi banjir menyebabkan kita menanggung kerugian besar termasuk kos benih ikan.

“Jika kita ternak ikan musim ini, risiko kerugian perlu ditanggung sendiri, jadi pengalaman berkenaan mengajar kita supaya lebih bersedia setiap kali musim tengkujuh,” katanya.

Ismail berkata, bagi musim ternakan kali ini, dia hanya memberi tumpuan kepada ikan siakap berikutan harga benih ikan kerapu yang lebih tinggi.

Menurutnya, benih siakap bersaiz kira-kira tiga inci dijual pada harga antara RM1 hingga RM1.30 seekor, manakala ikan matang boleh mencecah kira-kira RM22 sekilogram.

Katanya, ikan yang dimasukkan ke dalam kolam pada Mei lalu dijangka mula dituai secara berperingkat pada Mac tahun depan selepas tempoh ternakan kira-kira lapan bulan.

“Kalau berlaku banjir, peluang untuk kita berjaya menuai hasil memang 50-50 kerana semuanya bergantung kepada keadaan air dan tahap limpahan banjir.

“Selain banjir, cuaca panas dan keadaan air masin juga boleh menyebabkan ikan diserang penyakit sekali gus menjejaskan hasil ternakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini