Lakaran visual spontan: Solusi meningkatkan prestasi PISA

Lakaran visual spontan: Solusi meningkatkan prestasi PISA

Lakaran Visual Spontan membantu murid memahami, mengaplikasi dan menguji kefahaman mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keputusan Programme for International Student Assessment (PISA) sering menjadi perhatian apabila kita membincangkan pencapaian pendidikan negara.

Namun, setiap kali keputusan diumumkan, kita lebih banyak membincangkan skor dan kedudukan Malaysia berbanding mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi murid ketika menjawab soalan.

Persoalannya, adakah murid kita tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi, atau mereka menghadapi kesukaran menggunakan pengetahuan tersebut untuk memahami dan menyelesaikan masalah?

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan PISA perlu dilihat sebagai isyarat bahawa pendekatan pembelajaran kita masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Saya berpandangan bahawa Lakaran Visual Spontan atau Visualization Through Freehand (VTF) berpotensi menjadi salah satu solusi kemahiran praktikal untuk membantu meningkatkan keupayaan murid menghadapi penilaian seperti PISA.

Sebelum anda membaca tulisan yang seterusnya, ingin dinyatakan bahawa saya bukan seorang pakar dalam PISA. Saya hanya mengambil idea tentang keperluan PISA dan mengupasnya dalam bidang kemahiran saya iaitu komunikasi visual spontan. Semoga daripada penerangan ini dapat sama-sama kita bantu pendidikan negara untuk keputusan PISA yang lebih dinamik.

Mengapa murid sukar memperoleh skor tinggi?

PISA bukan sekadar menguji kemampuan murid menghafal fakta atau mengingat formula. Penilaian ini mengukur sejauh mana murid berusia 15 tahun mampu menggunakan pengetahuan Matematik, Bacaan dan Sains untuk menghadapi cabaran kehidupan sebenar.

Berdasarkan keperluan penilaian tersebut, terdapat lima aspek yang wajar diberikan perhatian dalam usaha meningkatkan prestasi murid.

Pertama, kesukaran memahami masalah. Murid mungkin mampu membaca setiap ayat dalam soalan tetapi gagal memahami situasi sebenar. Apabila soalan melibatkan beberapa maklumat, syarat dan hubungan yang kompleks, mereka sukar membayangkan dalam minda perkara yang sedang berlaku. Akibatnya, mereka mungkin memilih formula atau jawapan yang salah sejak awal.

Kedua, kesukaran menganalisis maklumat. Soalan PISA sering melibatkan jadual, graf, angka, teks dan pelbagai maklumat yang perlu ditafsir. Murid yang kurang mahir mengenal pasti pola dan hubungan antara maklumat mungkin tidak dapat menentukan fakta yang relevan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Ketiga, kelemahan pemikiran kritis. Murid bukan sahaja perlu memahami maklumat, tetapi juga menilai kesahihan, membuat perbandingan dan mempertimbangkan beberapa kemungkinan. Tanpa kemahiran ini, mereka cenderung menerima maklumat secara terus tanpa meneliti sebab dan akibat.

Keempat, kesukaran menyelesaikan masalah. Ada murid mengetahui konsep yang dipelajari tetapi tidak dapat menggunakannya apabila berdepan dengan situasi baharu. Mereka mungkin terlalu bergantung pada contoh soalan yang pernah diberikan oleh guru dan kurang yakin meneroka pendekatan penyelesaian yang berbeza.

Kelima, kelemahan menjelaskan penaakulan. Murid mungkin memperoleh jawapan tetapi menghadapi kesukaran menerangkan bagaimana jawapan tersebut dihasilkan. Keupayaan menyusun alasan, menghubungkan bukti dan menjelaskan kesimpulan merupakan sebahagian daripada kemahiran yang penting dalam pembelajaran.

Lima aspek ini bukanlah lima kategori rasmi pemarkahan PISA, tetapi merupakan kemahiran berkaitan yang boleh dijadikan panduan untuk memperkukuh pembelajaran murid.

Lakaran Visual Spontan sebagai solusi

Bagaimanakah Lakaran Visual Spontan boleh membantu mengatasi cabaran tersebut?

Bayangkan seorang murid diberikan soalan Matematik mengenai dua laluan perjalanan yang mempunyai jarak, tempoh masa dan kos berbeza. Jika murid hanya membaca soalan berulang kali, dia mungkin masih keliru. Namun, apabila murid tersebut mahir melakar kedua-dua laluan menggunakan garisan, simbol dan angka, situasi tersebut menjadi lebih mudah dibayangkan.

Inilah kelebihan pertama VTF, iaitu membantu murid menukarkan masalah yang sukar dibayangkan kepada gambaran yang lebih jelas. Murid boleh mengenal pasti maklumat penting sebelum menentukan langkah penyelesaian.

Kelebihan kedua ialah membantu menganalisis maklumat. Melalui lakaran graf ringkas, rajah hubungan atau peta konsep, murid berpeluang melihat pola dan kaitan antara beberapa faktor.

Sebagai contoh, perubahan suhu, jumlah hujan dan pertumbuhan tumbuhan boleh digambarkan untuk membantu memahami sesuatu fenomena Sains.

Kelebihan ketiga ialah menyokong pemikiran kritis. Murid boleh melakar dua atau tiga pilihan penyelesaian, kemudian membandingkan kelebihan, kekurangan dan kemungkinan kesannya. Proses ini menggalakkan mereka membuat pertimbangan berdasarkan maklumat, bukan sekadar meneka jawapan.

Kelebihan keempat ialah membantu proses penyelesaian masalah. Murid boleh melakar masalah utama, mengenal pasti punca dan menggambarkan beberapa kemungkinan penyelesaian. Melalui pendekatan ini, mereka belajar sesuatu masalah perlu difahami dan dianalisis sebelum tindakan diambil.

Kelebihan kelima ialah membantu murid menjelaskan penaakulan. Dengan menggunakan lakaran mudah, simbol dan anak panah, mereka dapat menerangkan urutan pemikiran serta hubungan antara bukti dan kesimpulan. Apabila murid boleh menerangkan bagaimana sesuatu jawapan diperoleh, guru juga lebih mudah mengesan kelemahan kefahaman mereka.

Menariknya, semua ini tidak memerlukan murid menjadi pelukis berbakat. Lakaran ringkas yang mempunyai fungsi jelas sudah memadai. Matlamatnya bukan menghasilkan lukisan cantik, tetapi membina keupayaan berfikir melalui visual.

Daripada Profits from Visuals kepada pendidikan negara

Dalam buku Profits from Visuals, saya menekankan bahawa nilai sebenar lakaran visual bukan terletak pada kecantikan lukisan semata-mata, tetapi pada keupayaan lakaran tersebut mempermudahkan kefahaman, meningkatkan kejelasan komunikasi dan membantu penyelesaian masalah.

Prinsip ini juga relevan dalam pendidikan. Apabila murid menggunakan VTF untuk memahami masalah, mereka sedang membina satu kemahiran yang boleh digunakan merentas pelbagai mata pelajaran. Apabila mereka menjelaskan hasil pemikiran melalui lakaran, keupayaan tersebut berkembang kepada kemahiran komunikasi visual spontan.

Sudah tentu, penggunaan lakaran perlu dilaksanakan secara sistematik dan berilmu. Guru harus dilatih membimbing murid menghasilkan lakaran yang tepat, relevan dan mampu menjelaskan hubungan antara konsep. Lakaran tidak seharusnya menjadi aktiviti tambahan yang membebankan, sebaliknya sebahagian daripada proses pembelajaran harian.

Melalui pengalaman saya melatih guru menggunakan pendekatan lakaran visual spontan, saya melihat potensi kemahiran ini untuk membantu mereka mempelbagaikan kaedah penerangan dan melibatkan murid secara lebih aktif. Potensi tersebut wajar dikaji dengan lebih mendalam melalui pelaksanaan yang terancang.

Apakah hasil yang boleh kita harapkan terhadap PISA?

Sekiranya Lakaran Visual Spontan diterapkan secara konsisten, kita boleh menetapkan beberapa hasil pembelajaran yang ingin dicapai. Antaranya ialah murid lebih cepat memahami kehendak soalan, lebih cekap menganalisis maklumat, lebih kritis membandingkan pilihan, lebih yakin menyelesaikan masalah dan lebih jelas menjelaskan alasan mereka.

Kemajuan dalam lima aspek yang dinyatakan diatas berpotensi meningkatkan keupayaan murid menjawab soalan berbentuk aplikasi pengetahuan dan penaakulan. Seterusnya, peningkatan kemahiran tersebut diharapkan dapat menyumbang kepada keputusan PISA yang lebih baik dalam Matematik, Bacaan dan Sains.

Namun, kesannya terhadap skor PISA perlu dibuktikan melalui kajian. Saya mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia mempertimbangkan pelaksanaan projek rintis VTF di sekolah terpilih.

Keupayaan murid boleh dinilai sebelum dan selepas latihan serta dibandingkan dengan kumpulan yang tidak menerima intervensi tersebut.

Penilaian juga harus melihat perubahan kefahaman dan kemahiran menyelesaikan masalah, bukan sekadar mahir melakar atau peningkatan markah peperiksaan.

Akhirnya, kita perlu sedar bahawa keputusan PISA yang lebih baik bermula dengan kemampuan murid berfikir dan menggunakan ilmu secara berkesan. Lakaran Visual Spontan bukanlah penyelesaian tunggal, tetapi menawarkan satu pendekatan yang praktikal, berpotensi serta kos pelaksanaan yang murah dan boleh dilatih secara meluas.

Jika kita mahu murid memberikan jawapan yang lebih baik, kita perlu terlebih dahulu membantu mereka memahami masalah dengan lebih jelas. Mungkin sudah tiba masanya Lakaran Visual Spontan atau Visualization Through Freehand diberikan tempat yang sewajarnya dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan negara.

VTF perlu dijadikan salah satu kompetensi penting kepada kemenjadian murid dalam pendidikan negara.-UTUSAN

Dr. Ruzaimi Mat Rani adalah penulis buku Profits From Visuals

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini