ISTILAH mafia korporat semakin mendapat perhatian dalam wacana politik dan ekonomi negara.
Dari sudut sains politik, fenomena ini bukan sekadar berkaitan pelanggaran etika perniagaan, malah menggambarkan bentuk penawanan negara (state capture) apabila kepentingan peribadi menguasai institusi dan proses membuat keputusan.
Sindiket kolar putih berprofil tinggi memanipulasi undang-undang, pasaran modal serta jentera birokrasi demi mengukuhkan pengaruh dan keuntungan kelompok tertentu. Keadaan ini boleh mengancam keselamatan ekonomi serta kestabilan pentadbiran negara.
Mafia korporat lazimnya bergerak melalui penguasaan terselindung terhadap syarikat senaraian awam, manipulasi saham dan kemungkinan bersekongkol dengan pembuat dasar serta penguat kuasa.
Keseriusan ancaman ini turut terserlah apabila Dewan Rakyat mendedahkan tindakan bersepadu Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan serta merampas dana bernilai puluhan bilion ringgit yang dikaitkan dengan jenayah kewangan dan kegiatan berkenaan. Pembekuan ratusan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) serta akaun bank komersial menggambarkan skala manipulasi yang berlaku dalam pasaran tempatan.
Antara kesan paling membimbangkan ialah kegiatan pengubahan wang haram. Keuntungan daripada aktiviti jenayah disalurkan melalui pelaburan korporat, pengambilalihan syarikat dan transaksi saham untuk menyembunyikan sumber asal dana.
Apabila perniagaan sah dijadikan saluran kepada sindiket, pemisahan antara modal bersih dengan hasil jenayah semakin sukar dikenal pasti. Situasi ini bukan sahaja mencemarkan reputasi sektor kewangan, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa.
Selain itu, mafia korporat berpotensi menyuburkan rasuah sistemik dan penyalahgunaan kuasa. Jaringan sedemikian memerlukan perlindungan tertentu untuk memastikan operasi mereka terus berjalan.
Justeru, rasuah pegawai awam, pengaruh terhadap pelantikan strategik dan usaha melemahkan agensi kawal selia boleh menjadi sebahagian daripada taktik mereka. Akibatnya, ketelusan dalam perolehan awam serta pelaksanaan projek besar terjejas, manakala pegawai berintegriti berisiko dipinggirkan demi kepentingan kelompok berkepentingan.
Ancaman seterusnya melibatkan pemerasan, manipulasi ekuiti dan penipuan pelabur kecil. Penggunaan syarikat proksi, pemalsuan dokumen serta tekanan melalui proses perundangan boleh dijadikan alat untuk mengambil alih sesebuah syarikat atau menyingkirkan pengurusan asal.
Tindakan sedemikian merosakkan persaingan sihat, sekali gus melemahkan keyakinan pelabur domestik dan asing terhadap pasaran negara.
Lebih membimbangkan, jaringan korporat yang tidak terkawal boleh mempunyai hubungan dengan jenayah terancang seperti penyeludupan, penipuan dalam talian dan perjudian haram.
Dana yang diperoleh secara tidak sah berpotensi membiayai operasi tersebut, sementara kedudukan korporat digunakan untuk menyembunyikan kegiatan serta mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
Bagi membendung ancaman ini, reformasi institusi perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia harus memperketat pemantauan terhadap urus niaga luar biasa serta memperkukuh penguatkuasaan liabiliti korporat.
Pada masa sama, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) perlu dikuatkuasakan dengan tegas tanpa memilih pihak.
Malaysia tidak boleh membiarkan kedaulatan ekonomi dikuasai sindiket berkot dan bertali leher. Kegagalan membendung kegiatan ini bukan sahaja menghakis integriti institusi awam, malah membuka ruang kepada jenayah terancang untuk menguasai sistem ekonomi.
Ketegasan politik, penguatkuasaan bebas dan tadbir urus telus menjadi benteng utama bagi memastikan kepentingan negara tidak dikorbankan demi keuntungan segelintir pihak. –UTUSAN
MUHAMMAD SYAKIR IDRIS
Pensyarah,
Fakulti Sains Pentadbiran
dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pahang, Kampus Raub











