Ketelusan Trump urus dana minyak Venezuela diragui

Ketelusan Trump urus dana minyak Venezuela diragui

GAMBAR fail menunjukkan kemudahan minyak luar pesisir di pelabuhan Bachaquero, selatan pesisir timur Tasik Maracaibo, negeri Zulia, Venezuela.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kegagalan pentadbiran Presiden Donald Trump memperincikan pengurusan hasil minyak Venezuela mencetuskan persoalan terhadap ketelusan penggunaan dana bernilai berbilion dolar yang dikendalikan Amerika Syarikat (AS).  

Sejak 3 Januari, kerajaan Trump mengawal eksport minyak Venezuela dan menyalurkan hasil jualannya ke dalam akaun khas di bawah pengawasan Jabatan Perbendaharaan AS.

Minggu lalu, Jabatan Negara AS menerbitkan laporan setebal 53 halaman yang mendedahkan sekurang-kurangnya AS$12.11 bilion (RM49.56 bilion) telah melalui akaun itu sejak awal tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak memperincikan sumber dana serta identiti pihak yang memasukkan wang dan penerima akhir hasil jualan minyak tersebut.

Pengarah Program Tenaga Public Citizen, Tyson Slocum, berkata laporan itu gagal memberikan gambaran jelas mengenai urusan kewangan membabitkan hasil minyak Venezuela.

“Setakat ini, apa yang kita peroleh hanyalah penjelasan asas mengenai bagaimana dana itu digunakan, tanpa perincian mengenai entiti yang terbabit,” katanya.

Kekurangan maklumat itu turut mendorong anggota Parti Demokrat di Kongres AS mendesak pentadbiran Trump mendedahkan hasil audit firma perakaunan KPMG yang dilantik untuk menyemak urus niaga eksport minyak Venezuela.

Bekas diplomat AS, John Feeley, berkata jumlah AS$12 bilion yang direkodkan dalam laporan itu juga menimbulkan persoalan kerana tidak diketahui berapa besar bahagiannya daripada keseluruhan hasil yang dimasukkan ke dalam akaun Perbendaharaan AS.

“Kita tidak tahu bagaimana wang itu digunakan dan tidak tahu berapa peratuskah AS$12 bilion itu daripada keseluruhan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Perbendaharaan AS. Kebanyakan pakar berpendapat jumlah itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan hasil,” katanya.

Bagaimanapun, jurucakap Jabatan Negara AS menegaskan laporan itu memberikan perincian menyeluruh mengenai hasil sumber asli Venezuela yang dimasukkan, disimpan dan disalurkan daripada akaun berkenaan. 

Dana itu, katanya, digunakan untuk membiayai perkhidmatan awam, kestabilan ekonomi serta pembangunan semula sektor tenaga, kesihatan dan infrastruktur. – AL JAZEERA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini