PETALING JAYA: Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin terpaksa menelan hakikat cukup pahit apabila kariernya dalam sukan itu sudah berakhir selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Isnin lalu.
Badang kelahiran Perlis itu akur dengan suratan takdir apabila perlu menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi dan tangan kanannya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, keadaan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu sudah stabil dan mampu untuk berbual selain menerima kunjungan tetamu.
Menurut beliau, walaupun sedar kecederaan dialami memberi kesan kepada masa depannya, namun Hafizuddin dilihat cukup tabah dan menunjukkan semangat tinggi ketika diziarahi.
“Alhamdulillah, keadaannya semakin baik. Dari segi fizikal, dia nampak begitu tabah menghadapi cabaran yang turut memberi kesan kepada masa depan kehidupannya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Hafizuddin.
Ayub mengesahkan masa depan atlet yang mesra dengan panggilan Udin itu dalam sukan angkat berat sudah berakhir dan peralihan ke sukan para seperti powerlifting dianggap mustahil.
Selain itu, pilihan untuk menceburkan diri dalam acara lontar peluru juga tipis kerana kecederaan dialami melibatkan tangan dominan, namun PABM sedia mengenal pasti sukan para lain yang sesuai.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan kesediaan PABM untuk memberi pendedahan awal kepada Hafizuddin untuk menceburi bidang kejurulatihan, khususnya di peringkat negeri Perlis berdasarkan pengalaman luas sebagai atlet sejak berusia belasan tahun.
“Kita mahu memberikan ruang kepadanya untuk menceburi bidang kejurulatihan di peringkat awal. Pengalaman sebagai atlet sejak muda selain mengharungi pelbagai cabaran adalah sesuatu yang sangat bernilai,” ujar Ayub.
Beliau juga mengakui episod hitam itu turut memberi kesan kepada perancangan jangka panjang sukan angkat berat negara kerana Hafizuddin merupakan antara prospek terbaik bagi menghadapi kelayakan Sukan Olimpik serta Sukan SEA 2027 nanti- UTUSAN











