MANCHESTER: Kemerosotan prestasi Manchester United kini berisiko menyebabkan lebih ramai pemain akademi meninggalkan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Terbaharu, bintang remajanya, JJ Gabriel, mengumumkan keputusan meninggalkan kelab itu, dengan pemain berusia 16 tahun berkenaan dijangka menyertai Real Madrid.
Gabriel mengumumkan perkara itu menerusi video di Instagram semalam, sekali gus memberi kesan kepada program pembangunan bakat di old Trafford.
“Manchester United yang dihormati, saya tiba pada tahun 2020 sebagai budak lelaki berusia 10 tahun dengan impian besar.
“Ketika memulakan babak baharu dalam hidup saya, Manchester United akan sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan karier saya. Terima kasih atas segala-galanya,” kata Gabriel.
Menurut laporan, Real mencapai persetujuan dengan United bulan ini untuk mendapatkan khidmat Gabriel, namun beliau masih berdaftar dengan akademi United, namun Real merancang untuk menandatanganinya pada Januari.
Pengecualian dalam peraturan FIFA mengenai perpindahan antarabangsa pemain bawah 18 tahun membolehkan kelab Eropah menandatangani kontrak profesional dengan pemain terbabit sekiranya mereka memiliki pasport Eropah.
Gabriel memenuhi syarat itu menerusi kedua-dua ibu bapanya dan potensi yang dimilikinya dijangka mampu membawanya ke peringkat beih tinggi selepas ini.
Pemain remaja itu meminta untuk meninggalkan United pada September lalu dan tidak lagi menjalani latihan bersama kelab yang berpangkalan di Old Trafford itu.- AGENSI











