Aina berjaya tunjukkan pada dunia Malaysia mempunyai penyanyi yang bagus – Ziana Zain - Utusan Malaysia

Aina berjaya tunjukkan pada dunia Malaysia mempunyai penyanyi yang bagus – Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Ziana Zain menyifatkan penyertaan Aina Abdul dalam pertandingan Eurovision Asia 2026 sebagai satu kejayaan buat industri muzik tanah air meskipun penyanyi itu tidak dinobatkan sebagai juara.

Menurut Ziana, rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan pencapaian Aina kerana berjaya memperlihatkan kehebatan bakat anak tempatan di pentas antarabangsa.

“Bagi saya, tidak penting sama ada menang atau kalah. Yang penting, kita sudah menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai penyanyi yang bagus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aina sudah melakukan yang terbaik dan kita tahu kekuatan vokalnya. Kita sebagai rakyat Malaysia janganlah marah-marah. Hati memang terkilan, saya faham.

“Tetapi ini merupakan satu pembuka jalan untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa Malaysia juga mampu melakukannya,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert A Night of Soul, semalam.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Madah Berhelah itu berpendapat setiap penyanyi yang berhasrat menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa perlu terlebih dahulu memahami kehendak dan kriteria pertandingan berkenaan.

“Pada zaman saya dahulu, sekitar tahun 1990-an, apa sahaja genre muzik yang kita nyanyikan, termasuk balada, boleh diterima ramai.

“Tetapi apabila era sudah berubah, cara dan kehendak mereka juga berubah. Apabila kita melihat Eurovision sekarang, banyak persembahan mengetengahkan penyanyi yang boleh menyanyi dan menari.

“Kita tahu kekuatan kita adalah balada, tetapi apabila sampai ke sana, keadaannya berbeza. Kita perlu tahu apa yang mereka mahukan sebelum menyertai sesebuah pertandingan,” jelasnya.

Tambah Ziana, kejayaan sesebuah persembahan bukan semata-mata diukur menerusi kedudukan dalam pertandingan, sebaliknya kemampuan sesebuah lagu meninggalkan kesan dalam jiwa pendengar.

“Arwah abah selalu cakap, ‘Nak, kedudukan itu tidak penting. Kalau dapat, itu rezeki. Yang penting adalah persembahan. Penghayatan itu yang paling penting.’ Itulah yang akan dirasai dalam jiwa pendengar sehingga mereka sentiasa menyanyikan melodi lagu tersebut.

“Lihat apa yang berlaku kepada Aina sekarang. Kanak-kanak pun menyanyikan lagunya. Lagunya sudah menjadi halwa telinga kita. Jadi, bagi saya, dia sebenarnya sudah menang,” ujarnya.

Terdahulu, Aina yang mempertaruhkan lagu Bluest Sky menduduki tempat keempat dengan kutipan 152 mata pada edisi sulung Eurovision Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand, pada 14 November lalu.

Pertandingan yang menghimpunkan 11 negara itu menyaksikan wakil Filipina, Carmelle dinobatkan sebagai juara menerusi lagu Sobra-Sobra.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini