Nelayan darat berpotensi raih pendapatan lebih tinggi

Nelayan darat berpotensi raih pendapatan lebih tinggi

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nelayan darat berpeluang meningkatkan pendapatan susulan permintaan terhadap ikan air tawar yang semakin mendapat sambutan dan mempunyai nilai pasaran tinggi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perubahan cita rasa pengguna membuka peluang lebih luas kepada nelayan darat untuk menjadikan sektor perikanan itu sebagai sumber pendapatan yang lebih lumayan.

Katanya, ikan air tawar yang sebelum ini kurang mendapat sambutan kini semakin diminati pengguna, khususnya spesies bernilai tinggi seperti ikan empurau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita melihat nelayan darat berpotensi menjadi satu sumber pencarian yang lebih baik pada masa akan datang.

“Ini kerana dahulu, orang ramai tidak begitu berminat untuk makan ikan darat. Namun, sekarang ikan darat mempunyai nilai yang tinggi dan semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung perancangan kementerian membantu nelayan darat yang terjejas akibat banjir.

Terdahulu, Dr. Zaliha memaklumkan kira-kira 237 nelayan darat berdaftar di daerah Segamat terjejas aktiviti penangkapan ikan susulan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, kawasan Sekijang dan Segamat terkenal dengan hasil sungai termasuk ikan ketutu yang mempunyai nilai pasaran tinggi antara RM75 hingga RM200 sekilogram.

Mengulas lanjut, Mohamad meminta Dr. Zaliha mengemukakan surat rasmi kepada kementerian supaya keperluan nelayan darat di Segamat yang terjejas akibat pelaksanaan projek RTB dapat diteliti.

Beliau berkata, kementerian mempunyai peruntukan khusus bagi membantu golongan berkenaan termasuk pemberian elaun RM250 dan pelaksanaan program pelepasan benih ikan ke perairan.

“Selain itu, kita juga sedang berusaha melaksanakan pelepasan benih ikan ke perairan dan turut memberikan elaun sebanyak RM250 kepada nelayan darat supaya mereka dapat terus menjalankan aktiviti berkenaan.

“Sebab itu, pandangan dibangkitkan daripada Yang Berhormat tadi akan diberikan perhatian khusus kerana saya tahu kawasan (Segamat) itu memang terkenal dengan ikan baung dan udang galah.

“Untuk makan ikan berkenaan, orang ramai perlu berkunjung ke kawasan Parlimen Yang Berhormat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini