KUALA LUMPUR: Kerap diundang sebagai artis jemputan konsert penyanyi lain, penyanyi, Khai Bahar menganggap peluang tersebut sebagai rezeki yang tidak seharusnya ditolak.
Menurut Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, selain mendapat kepercayaan daripada penganjur, peluang berkenaan turut membolehkannya menimba pengalaman dan berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi hebat tanah air.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dipilih. Saya memang teruja apabila berpeluang berada sepentas dengan artis-artis hebat. Boleh dikatakan hampir semua lagu penyanyi legenda itu pernah saya nyanyikan ketika berkaraoke atau memanaskan suara.
“Jadi, saya teruja kerana dapat berada sepentas dengan mereka dan dalam masa sama, dapat mendengar sendiri mereka menyanyi,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert A Night of Soul, pada Selasa.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Bayang itu mengakui dia tidak pernah menganggap undangan sedemikian sebagai perkara kecil, sebaliknya menjadikan peluang itu untuk mengembangkan kerjayanya dalam industri muzik.
“Bagi Khai, itu merupakan peluang dan rezeki saya. Bukan semua orang mempunyai peluang tersebut dan saya merasakan ini merupakan satu peluang yang besar.
“Saya memang tidak akan menolak sekiranya diberi peluang menyertai mana-mana konsert besar. Kalau ada konsert yang melibatkan artis jemputan dan saya dipanggil, saya akan pergi.
“Apabila berada dalam industri ini, perkara yang saya fokuskan adalah untuk menjadi lebih baik dalam kerjaya dan menghasilkan lagu-lagu yang terbaik.
“Jadi, saya memerlukan tips daripada orang-orang lama dalam industri. Tidak salah sekiranya kita mahu belajar setiap hari,” jelasnya.
Mengulas mengenai konsert A Night of Soul, Khai bersama tiga penyanyi hebat tanah air bakal berkongsi pentas dengan penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines, pada 12 Disember ini
Konsert itu juga turut menampilkan penyanyi baharu, Nabiha Aimi yang bakal membuat persembahan pembukaan pada malam itu nanti.











