Pelaburan pusat data RM225.97 bilion dijangka jana 4,053 pekerjaan

Pelaburan pusat data RM225.97 bilion dijangka jana 4,053 pekerjaan

PEMBANGUNAN Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan atau bilangan bangunan pusat data semata-mata. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 projek pusat data dengan anggaran pelaburan RM225.97 bilion dijangka mewujudkan 4,053 peluang pekerjaan, termasuk 3,523 jawatan berkemahiran tinggi.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, peluang pekerjaan itu melibatkan bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian, keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data.

Katanya, sehingga Oktober lalu, sebanyak 117 projek pusat data direkodkan di Malaysia, manakala pelaburan yang diluluskan dalam segmen pusat data dan pengkomputeran awan bagi separuh pertama tahun ini berjumlah RM95.8 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada segi pewujudan peluang pekerjaan, sehingga suku kedua tahun 2026, projek-projek di bawah DCTF dijangka menjana sebanyak 4,053 peluang pekerjaan termasuk 3,523 jawatan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian, keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data.

“Selain peluang pekerjaan secara langsung, pembangunan pusat data turut mewujudkan peluang pekerjaan tidak langsung dalam sektor pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan sokongan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung nilai ekonomi sebenar yang dijana daripada pertumbuhan pusat data dari segi pekerjaan, gaji berkemahiran tinggi, cukai dan penggunaan vendor tempatan berbanding nilai pelaburan yang diumumkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri pusat data memerlukan pelaburan awal yang besar, khususnya bagi pembelian pelayan, peralatan elektrik, sistem penyejukan dan infrastruktur bekalan tenaga.

Katanya, nilai pelaburan yang diumumkan tidak boleh disamakan secara langsung dengan jumlah perbelanjaan sebenar, peluang pekerjaan atau nilai tambah kepada ekonomi tempatan.

Menurutnya, berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada suku ketiga 2025, pekerja peringkat permulaan dalam industri itu menerima gaji antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan manakala jawatan kanan menawarkan RM10,000 hingga RM30,000 sebulan.

Selain itu, katanya, setiap projek pusat data yang diluluskan di bawah DCTF diwajibkan memenuhi syarat kandungan tempatan minimum sebanyak 30 peratus bagi memastikan industri tempatan turut menikmati manfaat pelaburan.

“Bagi memastikan limpahan ekonomi pelaburan pusat data turut dinikmati oleh industri tempatan, setiap projek yang diluluskan di bawah DCTF diwajibkan memenuhi syarat kandungan tempatan minimum sebanyak 30 peratus.

“Syarat ini merangkumi perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan, rangkaian dan penyelesaian teknologi,” katanya.

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut memantau pematuhan syarat berkenaan melalui laporan pelaksanaan yang dikemukakan syarikat setiap enam bulan.

Katanya, sumbangan cukai pendapatan korporat daripada industri pusat data dijangka meningkat secara berperingkat selepas tamat tempoh insentif pelaburan yang diberikan kepada sebahagian projek.

Menurutnya, kerajaan mahu memastikan pelaburan pusat data turut menyumbang kepada peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan pertumbuhan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini