PHUKET: Seorang lelaki warga asing berdepan detik cemas apabila trak pikap dipandunya tenggelam di pantai Phuket selepas terperangkap dalam pasir dan lumpur ketika cuba menurunkan jet ski untuk aktiviti memancing di Pantai Laem Sai, daerah Thalang kelmarin.
Pemandu itu dipercayai membawa trak pikap berkenaan ke kawasan berlumpur berhampiran pesisir pantai sebelum tayarnya terbenam sehingga menyebabkan kenderaan itu tidak dapat bergerak.
Keadaan bertambah buruk apabila air laut mula pasang dan perlahan-lahan menenggelamkan kenderaan berkenaan.
Trak pikap itu akhirnya hampir keseluruhannya ditenggelami air sehingga hanya bahagian bumbung kelihatan di permukaan laut.
Penduduk setempat merakam kejadian itu sebelum berkongsi video berkenaan di media sosial sehingga menarik perhatian ramai.
Penduduk bersama pengusaha bot akhirnya membawa sebuah jengkaut ke pantai bagi mengeluarkan trak pikap itu dari laut.
Mereka menggunakan tali yang diikat pada baldi jengkaut sebelum menyambungkan hujung satu lagi pada bahagian belakang trak pikap berkenaan untuk menariknya keluar dari air.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Penduduk turut mengingatkan pemandu yang tidak biasa dengan keadaan pantai serta laluan masuk ke kawasan berkenaan supaya tidak membawa kenderaan ke pesisir pantai.
Mereka turut menegaskan bahawa tindakan memandu kenderaan di pantai di Thailand boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, polis masih belum memaklumkan sama ada pemandu warga asing itu akan dikenakan sebarang pertuduhan atau denda.
Rakaman kejadian itu mengundang kritikan pengguna media sosial Thailand dengan sesetengahnya mendakwa tindakan lelaki berkenaan menyusahkan penduduk, polis dan pihak berkuasa.- AGENSI











