GAZA: Tentera Israel menggunakan dron jenis kuadkopter untuk menggugurkan kotak berisi bahan letupan ke atas rumah penduduk Palestin atau kawasan berhampiran sebelum meletupkannya dari jarak jauh, menurut penduduk dan saksi, lapor Anadolu.
Taktik itu menyebabkan bangunan musnah dan harta benda rosak, selain mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk sehingga memaksa sebahagian keluarga meninggalkan kediaman masing-masing.
Penduduk berkata, kaedah serangan itu mula dikesan kira-kira seminggu lalu di kawasan berhampiran kedudukan tentera Israel.
Saksi turut melaporkan kotak mengandungi beberapa kilogram bahan letupan digugurkan ke atas rumah dan bangunan lain.
Rakaman video yang diperoleh menunjukkan dron Israel menggugurkan kotak berisi bahan letupan ke atas bumbung bangunan.
Serangan itu dilaporkan berlaku di kawasan timur kejiranan Zeitoun dan Tuffah di Gaza City, selain timur Deir al-Balah serta kem pelarian Bureij di tengah Gaza.
Sumber tempatan berkata, puluhan penduduk Palestin melarikan diri dari kejiranan Zeitoun pada Jumaat kerana bimbang kediaman mereka menjadi sasaran serangan seterusnya.
Operasi pemusnahan bangunan itu berterusan sehingga Isnin apabila dron dilaporkan menggugurkan kotak bahan letupan berhampiran jambatan Wadi Gaza di Jalan Salah al-Din.
Serangan turut dilaporkan berlaku di kawasan utara kem pelarian Bureij dan Nuseirat.
Sekurang-kurangnya tujuh operasi seumpama itu dilaporkan berlaku, mengakibatkan letupan kuat serta kemusnahan besar di kawasan terbabit.
Pada 10 November lalu, tentera Israel menggunakan kaedah sama untuk memusnahkan dua rumah yang telah dikosongkan penduduk di timur kem pelarian Maghazi, menurut sumber tempatan kepada Anadolu.
Empat lagi kejadian pemusnahan menggunakan taktik serupa dilaporkan berlaku di sekitar Hospital Dar al-Salam, timur laut Khan Younis di selatan Gaza.
Selain menggunakan dron, tentera Israel turut memusnahkan bangunan penduduk Palestin sejak perang tercetus melalui serangan udara besar-besaran, bedilan artileri, bahan letupan yang dipasang di dalam atau sekitar bangunan serta jentolak tentera.
Tentera Israel juga menggunakan kenderaan tentera lama yang dipenuhi bahan letupan sebelum menggerakkannya ke kawasan antara bangunan berhampiran kedudukan tentera.
Letupan yang terhasil memusnahkan seluruh deretan bangunan kediaman di kawasan terbabit.
Operasi pemusnahan turut berterusan di kawasan yang dikawal Israel sepanjang Garisan Kuning walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel mengorbankan 1,650 rakyat Palestin manakala 5,975 lagi cedera sehingga Isnin.
Sejak Oktober 2023, perang Israel di Gaza mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 176,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.










