Lantang di media sosial, Cakra Khan tidak kisah diboikot - Utusan Malaysia

Lantang di media sosial, Cakra Khan tidak kisah diboikot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Cakra Khan mendakwa beberapa tawaran persembahannya dibatalkan susulan kelantangannya mengkritik isu semasa dan menyuarakan pandangan di media sosial.

Menurut Cakra, terdapat pihak penganjur yang dipercayai kurang senang dengan kenyataannya sehingga tidak lagi menghubunginya tanpa memberikan sebarang penjelasan.

“Saya sudah diboikot. Ada beberapa acara yang mungkin pihak penganjurnya kurang suka dengan kata-kata saya. Cuma, saya mempunyai prinsip sendiri dan akan sentiasa menyuarakan apa yang saya fikirkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menurut saya, tidak ada salahnya untuk mengungkapkan pendapat. Biasanya mereka tidak mengatakan apa-apa. Tiba-tiba sahaja tidak ada khabar lagi,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert A Night of Soul, pada Selasa.

Dalam masa sama, Cakra mengakui turut menjadi sasaran kecaman pihak tertentu, selain mendakwa pernah menerima ancaman untuk menyebarkan maklumat peribadinya, termasuk mendedahkan kad pengenalannya.

“Ada yang menghantar mesej peribadi (DM) dan mengatakan saya sudah tidak laku. Ada juga yang menuduh saya sengaja menumpang sesuatu isu untuk menaikkan nama.

“Memang pernah ada pihak yang mahu memuat naik kad pengenalan saya, tetapi akhirnya mereka tidak berani kerana kita juga mempunyai undang-undang. Jadi, saya tidak takut selagi saya tidak pernah menyuarakan sesuatu yang menurut saya salah,” kongsinya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Harus Terpisah itu menegaskan dia fidak tergugat sekiranya kelantangannya bersuara menyebabkan dia kehilangan tawaran pekerjaan dalam industri hiburan.

“Saya bermula daripada kosong. Dahulu, saya menyanyi di kafe dan bar. Jadi, kalau perlu kembali menyanyi di tempat-tempat itu, saya tidak ada masalah. Selagi saya masih boleh bernyanyi, itu sudah cukup. Populariti hanyalah bonus buat saya.

“Alhamdulillah, tawaran pekerjaan masih ada. Tetapi, kalau selepas ini ada lagi acara yang membatalkan penglibatan saya, saya masih boleh kembali menyanyi di bar,” jelasnya.

Ditanya sama ada pengalaman tersebut akan membuatkannya lebih berhati-hati, Cakra menegaskan akan terus bersuara mengenai perkara yang dirasakan penting, khususnya melibatkan kepentingan masyarakat.

“Saya akan terus menyuarakan perkara yang menurut saya perlu disuarakan. Tetapi, saya tidak akan mengulas semua perkara, terutama isu yang saya sendiri tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

“Kita semua sebagai rakyat Indonesia harus mempunyai empati antara satu sama lain. Sekarang ini, ramai rakyat Indonesia yang terkena bencana. Jadi, kita harus saling membantu dan memberikan semangat,” ujarnya.

Sebelum ini, Cakra pernah mencuri perhatian apabila lantang mengkritik isu kemusnahan hutan di Indonesia yang dikaitkan dengan ketamakan manusia.

Dalam perkembangan lain, Cakra bakal berkongsi pentas dengan barisan penyanyi hebat tanah air, Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain, Siti Nordiana dan Khai Bahar dalam konsert A Night of Soul di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines, pada 12 Disember ini.

Konsert itu juga bakal dimeriahkan dengan persembahan pembukaan dari penyanyi baharu, Nabiha Aimi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini