PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Balqis memohon maaf kepada syarikat produksi, Global Station atas penggunaan kata-kata kasar dalam kenyataannya sebelum ini di media sosial.
Menerusi perkongsian di Instagram, Balqis mengakui keterlanjurannya ketika meluahkan emosi berhubung beberapa isu, termasuk dakwaan dirinya pernah diraba seorang pelakon lelaki ketika menjalani penggambaran drama.
“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada Global Station atas kata-kata kasar saya sebelum ini. Saya akui cara saya meluahkan emosi sangat kasar. Saya benar-benar minta maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang saya lakukan,” katanya.
Dalam masa sama, Balqis turut menzahirkan penghargaan kepada Global Station kerana mengambil serius dakwaan tersebut dengan menjalankan siasatan berdasarkan rakaman asal penggambaran serta keterangan saksi.
“Saya sudah menerima perkembangan daripada Global Station. Siasatan kini sedang dijalankan dan pihak produksi akan mengambil tindakan berdasarkan rakaman asal serta keterangan saksi.
“Global Station juga akan mengambil tindakan undang-undang. Terima kasih kerana memandang serius perkara ini ketika ribuan orang lain tidak berbuat demikian.
“Terima kasih kerana tidak takut dengan kebenaran. Saya benar-benar berharap semua saksi akan terus bercakap benar mengenai apa yang mereka lihat dan ketahui,” tegasnya.
Sementara itu, Balqis turut meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir masyarakat termasuk golongan profesional, pempengaruh dan penggiat seni yang didakwa enggan mempercayai pengalaman pahit dilaluinya.
“Daripada ribuan orang termasuk peguam, pempengaruh, artis, remaja yang sering memperjuangkan keadilan dan masyarakat yang bercakap tentang keadilan, begitu ramai tetapi masih tidak mempercayai apa yang berlaku kepada kami.
“Sekali lagi, kami diingatkan tentang apa yang pernah berlaku kepada ibu saya. Sikap tidak percaya yang sama, penolakan yang sama dan kesakitan yang sama.
“Sekiranya keadaan ini berlaku sebaliknya, pasti kamu semua akan mempercayai mereka tanpa sebarang keraguan,” luahnya.
Dalam pada itu, pelakon drama Dua Nyawa itu menegaskan pendiriannya berhubung dakwaan dirinya mengalami gangguan seksual itu tidak pernah berubah sejak awal perkara berkenaan dibangkitkan.
“Saya sudah memberikan kenyataan dan kenyataan saya tidak pernah berubah. Terima kasih Global Station kerana sanggup menjalankan siasatan dan mendengar suara saya ketika ramai orang lain memilih untuk tidak mendengar.
“Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan betapa kami menghargainya. Perkara ini amat bermakna buat saya dan keluarga.
“Saya benar-benar berharap siasatan ini dapat memberikan penjelasan, membuktikan kebenaran dan membawa kepada keadilan. Buat masa ini, kami akan menunggu,” ujarnya.
Terdahulu, Balqis meluahkan rasa berang dengan tindakan peminat seorang pelakon lelaki yang memberi amaran kepadanya agar tidak mendekati hero pujaan mereka.
Meskipun tidak memetik nama mana-mana individu, Balqis turut mendakwa dirinya turut diraba seorang pelakon lelaki ketika menjalani penggambaran sebuah drama.











