Wanita China ditahan terbabit sindiket ibu tumpang 

Wanita China ditahan terbabit sindiket ‘ibu tumpang’ 

WANITA warga China yang terlibat dalam sindiket ibu tumpang ditahan pegawai imigresen di sebuah kondominium di daerah Huai Khwang, Bangkok.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seorang wanita warga China yang disyaki mendalangi sindiket ibu tumpang haram bernilai lebih 700 juta baht (RM84.6 juta) membabitkan kelahiran lebih 2,300 bayi ditahan di sebuah kondominium di Bangkok. 

Suspek berusia 45 tahun yang hanya dikenali dengan nama samaran Wo itu ditahan di daerah Huai Khwang. 

Menurut maklumat daripada penyiasat China, Wo adalah antara tujuh individu yang didakwa mengendalikan rangkaian perubatan dan ibu tumpang haram di negara itu sejak 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kumpulan berkenaan didakwa merekrut penderma ovum serta menjalankan proses pengambilan ovum, pembentukan embrio, ujian genetik, pemilihan jantina dan pemindahan embrio di kemudahan perubatan tidak berlesen sebelum menyerahkan bayi kepada pelanggan yang membuat bayaran.

Pelanggan dilaporkan membayar sehingga satu juta yuan (RM613,608) bagi setiap kes.

Penyiasat China berkata, rangkaian itu merekrut lebih 700 wanita sebagai penderma ovum, menjalankan lebih 12,000 prosedur pembentukan embrio dan melakukan lebih 1,900 pemindahan embrio.

Kes itu turut membabitkan insiden perubatan serius pada Februari 2025 apabila seorang wanita yang menjadi ibu tumpang mengalami komplikasi teruk ketika melahirkan bayi pramatang.

Menurut polis, wanita berkenaan terpaksa menjalani pembedahan pada rahim selain mengalami kerosakan serius pada organ dan tisu badannya.

Insiden itu mencetuskan prosiding jenayah serta membawa kepada pengeluaran waran tangkap terhadap kesemua tujuh individu yang disyaki terbabit dalam rangkaian berkenaan.

Wo kemudian dikenal pasti sebagai suspek yang dikehendaki pihak berkuasa China kerana menjalankan amalan perubatan secara haram.

Penyiasat imigresen Thailand mendapati China sudah membatalkan pasport wanita itu dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. Kebenarannya untuk tinggal di Thailand kemudian turut dibatalkan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini