KUALA LUMPUR: Anggota polis yang cedera selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong pada 11 November lalu tidak melepaskan tembakan kerana bimbang serpihan peluru terkena orang awam.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy sebenarnya mempunyai hak untuk mempertahankan diri kerana berdepan ancaman yang boleh mengakibatkan kematian.
“Bagaimanapun, keputusan dia untuk tidak menggunakan senjata api dibuat selepas mengambil kira situasi semasa, khususnya risiko keselamatan orang awam di lokasi kejadian.
“Tembakan yang dilepaskan berisiko ‘ricochet’ (melantun) sekali gus menyebabkan serpihan peluru mencederakan individu lain,” katanya selepas mengadakan lawatan kebajikan terhadap Thierry di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, anggota polis itu turut mempertimbangkan kemungkinan senjata api yang diacukan memberi kesan gentar kepada suspek,” katanya.
“Dia beranggapan senjata di tangan boleh mengintimidasi suspek, tetapi tidak terkesan dan terus bertindak ganas.
“Jadi, itulah antara sebab dia tidak melepaskan tembakan, selain memikirkan keselamatan orang di sekeliling,” jelasnya.
Dalam kejadian pada 11 November lalu, Thierry cedera parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan dua parang ketika menjalankan tugas di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong. – UTUSAN










