PUTRAJAYA: Kerajaan terbuka kepada cadangan untuk memperluas skop siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan tiada halangan sekiranya siasatan lanjut diperlukan bagi memastikan sebarang isu berkaitan projek berkenaan dapat diteliti secara menyeluruh.
Menurut beliau, langkah itu juga boleh memberi ruang kepada hasil siasatan dibentangkan di Parlimen untuk dinilai dan dibincangkan bersama.
“Kita sebenarnya (sebagai) kerajaan terbuka, mana-mana yang perlu dibuat, boleh dibuat. Kalau ada masalah, buat PAC, boleh dibentangkan di Parlimen untuk kita nilai bersama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) di sini hari ini.
Mustapha berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan tujuh Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan mengemukakan memorandum kepada PAC minggu depan bagi memohon skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diperluas.
Sebelum ini, ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu penting bagi memastikan siasatan PAC bukan sahaja menumpukan status dan prestasi semasa projek berkenaan, malah turut meneliti keputusan dasar terdahulu yang didakwa memberikan kesan terhadap jadual pelaksanaan, pelantikan kontraktor serta peningkatan kos pembinaan.
Sementara itu, mengulas tentang penganjuran FOI Putrajaya, Mustapha mencadangkan agar acara itu diperluas ke semua universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita mahu beri pencerahan (dan) pendedahan kepada mahasiswa kita, pelajar-pelajar kita, tentang teknologi-teknologi baharu ini.
“Kita ingin menyediakan mereka untuk masa depan. Jadi yang penting mereka ada pengetahuan, asas itu, supaya mereka berminat, ada keupayaan untuk mereka bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya. – UTUSAN











