Lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor dipenjara dua tahun lagi, empat sebatan

Lelaki menyamar ADC Raja Muda Selangor dipenjara dua tahun lagi, empat sebatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lelaki disyaki menyamar sebagai pegawai pengiring (ADC) Raja Muda Selangor sekali lagi dihukum penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi kesalahan menipu melibatkan kerugian RM155,000, Julai lalu.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas, Al Zulfadly Alias, 40, mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap pada 16 November lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semalam, di hadapan hakim sama, tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, turut dihadapkan dengan empat pertuduhan serupa namun mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, mereka bersama-sama didakwa memperdaya seorang doktor wanita berhubung tawaran pembelian aset hartanah (Eco Ardence Ember) dan kenderaan mewah (Lexus LM500h) yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa membuat pemindahan wang dalam talian menerusi lima transaksi sebanyak RM45,000, RM20,000, RM45,000, RM25,000 dan RM20,000 ke dalam akaun bank milik Al Zulfadly di Jalan Ampang, di sini, pada 2, 3, 18 dan 19 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara satu dan 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Nurul Nur Syahirah yang juga pesakit mangsa memperkenalkan Al Zulfadly sebagai suaminya serta mendakwa pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor itu mampu mendapatkan kereta mewah dan hartanah pada harga murah.

Terpedaya dengan tawaran sebuah kenderaan mewah jenis Lexus LM500h dan dua unit kediaman Eco Ardence Ember, mangsa bersetuju membuat transaksi pindahan wang secara dalam talian berjumlah keseluruhan RM155,000 ke akaun bank milik Al Zulfadly

Bagaimanapun, penyerahan kereta mewah itu ditangguhkan berkali-kali sebelum penipuan berkenaan terbongkar pada 13 Oktober lalu apabila mangsa yang hadir ke lokasi dijanjikan bagi menerima kenderaan tersebut mendapati lokasi berkenaan kosong.

Semakan dengan pihak Istana Selangor turut mengesahkan tertuduh bukan pegawai khas, pengawal pengiring mahupun kakitangan istana.

Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri mencadangkan hukuman berat mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

“Mohon juga mahkamah mempertimbangkan jumlah kerugian yang dialami oleh pengadu iaitu berjumlah RM155,000 serta fakta bahawa pengadu telah beberapa kali diperdaya.

“Faktor paling penting sekali adalah faktor bahawa tertuduh telah merepresentasikan diri selaku pegawai sulit Raja Muda Selangor dalam membuat kesalahan tipu dan ini merupakan perkara yang serius,” katanya.

Bagaimanapun, Al Zulfadly yang tidak diwakili peguam merayu hanya dikenakan hukuman ringan atas alasan telah insaf.

“Memandangkan kesalahan saya ini satu penganiayaan sesama manusia, saya menginsafi dan bertaubat. Saya merayu agar hukuman saya dapat dikurangkan memandangkan semalam saya dah dituduh dan dikenakan satu tahun penjara.

“Saya mohon budi bicara baik agar hukuman dapat dikurangkan agar saya dapat mencari rezeki yang halal di luar sana untuk membayar semula kepada orang-orang yang saya telah aniaya,” katanya.

Semalam, Al Zulfadly turut dihukum penjara satu tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menipu seorang selebriti lelaki berhubung tawaran pembelian aset hartanah bernilai RM30,000.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini