KEJAYAAN bergraduasi pastinya membawa kegembiraan bukan sahaja kepada graduan, malah keluarga yang meletakkan harapan tinggi agar pencapaian tersebut dapat membuka ruang kehidupan lebih baik.
Pendidikan sememangnya menjadi antara jalan penting untuk meningkatkan taraf hidup dan membina masa depan. Namun, kejayaan dalam dunia hari ini tidak cukup bergantung pada kelayakan akademik semata-mata. Graduan juga perlu memiliki kemahiran dan keperibadian yang membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan tuntutan kehidupan serta alam pekerjaan.
Malangnya, masih terdapat pelajar yang terlalu menumpukan perhatian untuk memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tinggi sehingga mengabaikan aspek pembangunan diri. Walaupun keputusan akademik yang cemerlang menjadi satu kelebihan, kemahiran insaniah turut memainkan peranan penting dalam menentukan kebolehpasaran seseorang graduan.
Dalam era globalisasi, kualiti graduan tempatan sering dikaitkan dengan kemampuan memenuhi kehendak industri. Ada antara mereka yang memiliki kelayakan akademik membanggakan, tetapi masih lemah dalam aspek komunikasi, penyelesaian masalah, kreativiti dan inovasi. Kekurangan ini boleh menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang memerlukan pemikiran kritis, kebolehan bekerjasama serta keupayaan menangani cabaran.
Justeru, institusi pendidikan perlu memberikan perhatian seimbang terhadap pencapaian akademik dan pembentukan kemahiran insaniah. Usaha ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Universiti juga perlu memperkukuh kerjasama dengan pihak industri supaya kandungan pembelajaran sentiasa seiring dengan perkembangan pasaran pekerjaan. Pendedahan melalui latihan industri, projek bersama dan perkongsian kepakaran dapat membantu pelajar memahami suasana kerja sebenar. Pada masa sama, pihak industri perlu membuka ruang kerjasama serta menyediakan peluang kepada institusi pengajian tinggi untuk melaksanakan program berkaitan.
Selain itu, kerajaan wajar menilai semula pendekatan penilaian pelajar yang terlalu bergantung pada peperiksaan. Sistem pendidikan tidak seharusnya mengukur kemampuan seseorang berdasarkan markah atau jumlah A yang diperoleh semata-mata. Penilaian juga perlu mengambil kira kebolehan berfikir aras tinggi, komunikasi, kreativiti, penggunaan teknologi dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Pendekatan sedemikian dapat mengurangkan tekanan akibat persaingan mendapatkan keputusan cemerlang, di samping memberi ruang kepada pelajar mengembangkan potensi masing-masing. Ibu bapa juga perlu melihat kejayaan anak-anak secara lebih menyeluruh tanpa terlalu membandingkan pencapaian mereka dengan orang lain.
Dunia yang semakin berubah menuntut sistem pendidikan bergerak seiring dengan keperluan semasa. Pencapaian akademik tetap penting, tetapi kemahiran, pengalaman dan keperibadian turut menjadi bekalan untuk menghadapi kehidupan.
Matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, sebaliknya membentuk insan seimbang yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)











