SERAMAI 650,000 pelajar disasarkan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 1,398 institusi seluruh negara menjelang akhir 2026, berbanding kira-kira 587,000 orang pada 2025.
Peningkatan ini menunjukkan kepentingan TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan pembangunan negara. Namun, usaha memperluas penyertaan perlu disertai kefahaman masyarakat terhadap nilai, kualiti latihan dan peluang kerjaya yang ditawarkan.
TVET bukan sekadar laluan pendidikan berasaskan kemahiran praktikal, malah membuka ruang kepada pelajar untuk menguasai teknologi, menghasilkan inovasi dan membina kepakaran teknikal. Cabarannya ialah mengubah tanggapan bahawa pendidikan akademik konvensional lebih berprestij berbanding latihan kemahiran.
Kajian Ahmad dan rakan-rakan (2025) dalam Jurnal Pendidikan Bitara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada stigma terhadap TVET, termasuk kurangnya kesedaran masyarakat, tanggapan terhadap kelebihan laluan akademik dan pendedahan media yang terhad. Dapatan ini menunjukkan cara maklumat disampaikan turut mempengaruhi penerimaan masyarakat.
Dalam hal ini, media mempunyai peranan besar untuk membina naratif baharu TVET. Tugasnya bukan sekadar melaporkan pengambilan pelajar, program institusi atau majlis rasmi tetapi turut menjelaskan sumbangan pendidikan kemahiran kepada masyarakat dan ekonomi negara.
Antara pendekatan yang boleh diketengahkan ialah kisah kejayaan graduan, inovasi pelajar, penyelidikan gunaan serta kerjasama institusi dengan industri.
Penceritaan yang menunjukkan bagaimana kemahiran digunakan untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan produktiviti dan menghasilkan nilai ekonomi dapat memberikan gambaran lebih jelas tentang kelebihan TVET.
Usaha ini memerlukan kerjasama institusi pendidikan. Pihak institusi perlu lebih proaktif mengenal pasti pencapaian pelajar dan pensyarah, menyediakan maklumat berkualiti serta membantu media memahami manfaat sesuatu inovasi. Hebahan tidak seharusnya tertumpu pada aktiviti semata-mata, sebaliknya perlu menjelaskan hasil dan impaknya kepada masyarakat.
Media sosial juga membuka peluang lebih luas untuk menyampaikan maklumat. Laporan TVET in Malaysia: Perceptions vs Reality oleh Financial Industry Collective Outreach (FINCO) pada 2025 mendapati 28 peratus responden menyatakan media sosial meningkatkan pengetahuan mereka tentang TVET.
Tahap pengetahuan dalam kalangan pengguna media sosial yang dikaji pula mencapai 52 peratus, berbanding 49 peratus bagi mereka yang memperoleh maklumat daripada kaunselor dan ibu bapa.
Dapatan ini memperlihatkan potensi platform digital sebagai saluran pendidikan masyarakat. Namun, kandungannya perlu melangkaui poster pengambilan pelajar dan promosi program. Penerangan mengenai bidang kemahiran, laluan kelayakan, pengalaman graduan serta prospek pekerjaan perlu disampaikan secara konsisten dan mudah difahami.
Walau bagaimanapun, komunikasi yang berkesan tidak boleh menggantikan mutu latihan. Kurikulum yang relevan, kemudahan lengkap, tenaga pengajar kompeten, pengiktirafan kelayakan dan kerjasama industri tetap menjadi asas keyakinan masyarakat.
Majikan juga perlu terlibat dalam pembangunan kurikulum dan latihan supaya kemahiran graduan selari dengan keperluan pasaran kerja.
Akhirnya, kejayaan TVET tidak seharusnya diukur melalui jumlah penyertaan semata-mata, tetapi turut berdasarkan penerimaan masyarakat terhadap nilai pendidikan berasaskan kemahiran.
Media dan institusi perlu berganding bahu mengetengahkan pencapaian sebenar melalui pelaporan yang berkualiti serta berasaskan fakta. Dengan pendekatan berterusan, TVET mampu diangkat sebagai laluan pendidikan yang bernilai, berdaya saing dan mempunyai masa depan cerah dalam pembangunan sosioekonomi negara. –UTUSAN
SHARIFAH ANITA WAFA SYED MUNIR WAFA
Pegawai Penerangan,
Jabatan Penerangan Malaysia











