SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim enggan mengulas peletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang berkuatkuasa mulai semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berkata, beliau belum mahu memberikan penjelasan mengenai tindakan itu buat masa ini.
“Maaf. Tapi tiada PC (sidang akhbar) atau kenyataan akhbar daripada saya hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberitahu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menerima satu salinan surat peletakan jawatan oleh Ismail yang telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Pengerusi BN akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan ke hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.
Ismail yang berusia 67 tahun telah dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos tahun ini selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 1 Ogos lalu.
Beliau yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) telah menjadi ADUN selama 27 tahun dengan memenangi empat kali PRN sejak 1999 dengan bertukar kerusi antara Senaling dan Juasseh.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah itu terjerumus dalam kemelut dengan Istana Negeri Sembilan apabila dia dilaporkan menandatangani Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.
Sejak itu, hubungan antara kedua-dua pihak terjejas dan tidak menemui jalan damai.
Sehingga semalam, Ismail belum menerima perkenan daripada Tuanku Muhriz untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pembentangan Belanjawan 2027.-UTUSAN











