Seni ini tiada noktah - Ziana Zain - Utusan Malaysia

Seni ini tiada noktah – Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SELAGI masih diberikan Allah tenaga dan selagi saya diperlukan, saya akan teruskan sebab seni ini dia tidak ada kata noktah.”

“Saya tengok arwah abah, umur 70, 80 lebih pun dalam bilik air masih menyanyi. Jadi, benar, seni ini tiada noktah kerana seni itu satu kecintaan.”

Demikian kata Ratu Balada Malaysia, Datuk Ziana Zain, ketika bercerita mengenai semangatnya yang tidak pernah pudar untuk terus aktif berkarya walaupun menganggap dirinya sudah berusia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada hematnya, mungkin faktor usia sedikit sebanyak mencantas kudrat seseorang penyanyi untuk memperlahakan kerjaya seni, tetapi bagi penyanyi bervokal mega ini, beliau mengakui belum masanya untuk berehat.

Kata penyanyi lagu Madah Berhelah itu, beliau masih rancak berkarya atas sebab masih ada peminat yang perlu diraikan sehingga kini.

Malah, tidak kurang juga peminat setianya yang terus menyokong sejak awal pembabitan beliau dalam industri seni tanah air pada awal tahun 90-an. Mana mungkin Datuk Ziana berhasrat memperlahankan rentak karier nyanyiannya!

“Pada usia saya sekarang, permintaan masih ada dan saya bersyukur kerana peminat yang mengikuti perjalanan saya sejak era 1990-an masih terus bagi sokongan.

“Saya juga mewakili peminat-peminat yang sudah lama bersama saya dan sehingga hari ini masih ada peminat baharu yang terus mengenali dan menyokong.

“Selagi mendapat permintaan dan masih mempunyai kemampuan, saya akan terus memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin demi menghargai sokongan peminat,” ujarnya.

Mengimbas kejayaan yang telah dirangkul oleh Ziana Zain, beliau mula mencipta fenomena sebagai penyanyi bersuara lantang menerusi album bertaraf platinum dan kemenangan di pentas antarabangsa Voice of Asia pada tahun 1995.

Kecemerlangan muziknya turut terbukti apabila beliau merangkul pelbagai trofi berprestij di Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi lagu ikonik seperti Madah Berhelah dan Puncak Kasih.

Selain nyanyian, bakat lakonannya menyerlah melalui deretan filem pecah panggung seperti Sembilu dan Maria Mariana sehingga memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM).

Sebagai kemuncak penghargaan atas sumbangan seninya, beliau dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2026.

Seiring dengan pengiktirafan berprestij dan pengaruhnya yang terus utuh merentasi pelbagai generasi, ketika ditanya, Ziana Zain turut terbuka untuk meneroka dimensi muzik baharu dengan bekerjasama bersama penyanyi angkatan Gen Z.

Kata Ziana, dia sememangnya tiada halangan untuk bergandingan dengan bakat-bakat muda masa kini sebagaimana yang pernah dilakukannya sebelum ini menerusi kolaborasi bersama penyanyi rap, Alyph, penyanyi Singapura.

“Sudah tentu saya terbuka, sebelum ini pun saya sudah bekerjasama dengan Alif, jadi kalau ada rezeki daripada Allah dan laluannya kena, kenapa tidak,” katanya.

Bagaimanapun, Ziana menegaskan bahawa sebarang perancangan duet atau kolaborasi berkumpulan bukanlah sekadar mengejar populariti semata-mata tetapi bergantung kepada keserasian hala tuju muzik serta kualiti karya yang dihasilkan.

“Perkara paling utama ialah lagu itu sendiri perlu sedap dan kena dengan jiwa penyanyi atau kumpulan tersebut, kerana kejayaan kolaborasi bukan bergantung pada nama semata-mata tetapi kekuatan lagu itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini