PETALING JAYA: Kuasa guru disiplin di sekolah perlu dikembalikan bagi membolehkan isu salah laku pelajar ditangani dengan lebih berkesan sekali gus mengelakkannya daripada berlarutan menjadi kesalahan lebih serius.
Kekangan yang dihadapi golongan pendidik ketika ini termasuk dalam aspek pelaksanaan hukuman rotan menyebabkan guru disiplin berdepan kesukaran mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar bermasalah.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Nor Hisam Nordin turut mengakui tugas mendisiplinkan pelajar kini semakin mencabar berikutan keterbatasan kuasa dihadapi guru disiplin.
Sehubungan itu katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mencari kaedah terbaik bagi menangani isu disiplin dalam kalangan pelajar sekolah.
“Kembalikanlah kuasa guru disiplin ini. Guru disiplin seolah-olah bukan diikat satu tangan malah kedua-dua belah tangan diikat dan tidak boleh mengambil tindakan.
“Pada masa ini, hukuman sebatan di khalayak ramai tidak lagi boleh dilaksanakan dan tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.
“Oleh itu, pihak kami sedang berusaha bersama kementerian untuk mencari kaedah yang sesuai bagi memperkukuh penguatkuasaan disiplin di sekolah.
“Langkah ini penting bagi memastikan masalah disiplin dapat ditangani lebih awal sebelum menjadi semakin serius dan membawa kepada perlakuan jenayah,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program podcast MMTV Pod X yang disiarkan di akaun media sosial Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Nor Hisam mendedahkan bahawa wujud beberapa kes di mana aduan awal yang dibuat oleh murid dipandang remeh atau diambil mudah sehinggalah masalah tersebut menjadi lebih serius.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak pengurusan sekolah agar tidak menyembunyikan kes salah laku atau jenayah semata-mata ingin menjaga nama baik dan reputasi sekolah.
“Memang ada segelintir pengurusan sekolah yang enggan mendedahkan kejadian sebegini kerana bimbang reputasi terjejas atau timbul persepsi negatif apabila kereta peronda polis masuk ke kawasan sekolah.
“Namun, keselamatan murid jauh lebih mustahak daripada reputasi yang ingin dipertahankan,” tegasnya.
Bagi memperkukuh keselamatan di sekolah, Nor Hisam menjelaskan PDRM telah menetapkan garis panduan jelas kepada pihak sekolah serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
“Kesalahan berkaitan peraturan sekolah seperti ponteng dan merokok akan diselesaikan di peringkat sekolah oleh guru disiplin manakala kesalahan jenayah berat seperti kongsi gelap, vandalisme dan keganasan wajib dilaporkan segera kepada polis,”jelasnya.
Selain itu, kata beliau, PDRM turut menggerakkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang diwajibkan hadir sekurang-kurangnya dua kali sebulan serta menyertai perhimpunan pagi bagi mewujudkan elemen show of force untuk menggerunkan pelajar daripada melakukan salah laku.
Nor Hisam pada masa sama menyokong usaha mewujudkan jawatan warden asrama hakiki yang tidak terbeban dengan tugas mengajar.
Beliau juga memuji langkah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang melantik bekas tentera sebagai warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi mengawal disiplin pelajar di asrama khususnya pada waktu lewat malam.
“Keselamatan sekolah tidak boleh diletakkan di bahu polis atau cikgu semata-mata. Ia memerlukan kerjasama tiga pihak iaitu sekolah, polis serta ibu bapa dan masyarakat. Pendidikan dan pemantauan mesti bermula dari rumah,” katanya.-UTUSAN.











