MELAKA: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang adalah isyarat jelas bahawa pengundi kini tidak lagi mahu terikat dengan sentimen politik semata-mata.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, sebaliknya rakyat mula membuat penilaian berdasarkan kemampuan sesebuah parti atau gabungan menawarkan kestabilan serta menyelesaikan masalah kehidupan harian rakyat.
Menurutnya, sepanjang tempoh kempen, pengundi lebih memberi perhatian kepada perkara yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan mereka termasuk soal ekonomi, peluang pekerjaan dan masa depan anak-anak.
“Saya fikir pengundi melihat beberapa isu yang pernah kita bangkitkan sebelum ini. Pertama sekali adalah soal ekonomi, iaitu bagaimana perniagaan mereka dapat berjalan dengan baik dan sama ada terdapat peluang pekerjaan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
“Saya melihat masyarakat mahu sesuatu yang lebih praktikal dan pragmatik. Mereka mahu melihat penyelesaian kepada masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk di Kedai Kopi Aju di Pekan Bukit Rambai, semalam.
DUN Kelebang yang pada awalnya dilabelkan sebagai sengit tetapi sebaliknya terjadi apabila Naib Presiden MCA itu berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan kemenangan majoriti 7,035 undi.
Dalam pertandingan empat penjuru, Lim memperoleh 12,522 undi, jauh meninggalkan calon Pakatan Harapan (PH), Farzana Hayani Mohd. Nasir yang meraih 5,487 undi, manakala Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 940 undi dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Young Jie Yu mendapat 749 undi.
Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, manifesto serta mesej yang dibawa BN bersama rakan strategiknya sepanjang kempen turut memberi keyakinan kepada pengundi bahawa gabungan itu menawarkan pendekatan yang lebih realistik.
“Saya nampak rata-rata pengundi Melaka memberi sokongan kepada gabungan yang kita namakan ‘Gelombang Biru, Melaka Muafakat’.
“Berdasarkan interaksi dan sesi pertemuan saya dengan pengundi semasa kempen pilihan raya, dari sudut pandangan mereka, gabungan ini serta manifesto dan mesej yang disampaikan merupakan satu gabungan yang lebih pragmatic,” ujarnya.
Katanya, sokongan yang diterima tidak boleh dianggap sebagai satu kejayaan untuk diraikan semata-mata, sebaliknya merupakan mandat besar yang perlu dibalas dengan kerja keras dan perkhidmatan terbaik.
Di DUN Kelebang sendiri, beliau berkata, BN berjaya mencatat keputusan memberangsangkan di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sebelum ini menyaksikan komposisi pengundi Cina melebihi 50 peratus.
Menurutnya, PDM Kelebang Kecil dan Pulau Gadong yang sebelum ini menyaksikan BN berdepan kekalahan dengan majoriti agak besar, kini berjaya dimenangi semula.
“Kali ini, kita berjaya memenangi kedua-dua PDM tersebut, sedangkan dahulu kita kalah dengan majoriti yang agak besar,” katanya.
Beliau menambah, sokongan pengundi muda juga antara perkembangan penting yang diperhatikan sepanjang kempen apabila BN menerima sokongan mereka khususnya di saluran enam dan tujuh. – UTUSAN











