PETALING JAYA: Penyerang warisan, Rodrigo Holgado menafikan spekulasi yang mengaitkan dirinya sebagai pemain baharu yang bakal menyertai kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT).
Penyerang berusia 31 tahun berkenaan tampil membuat penafian itu di laman sosial selepas dirinya dikaitkan dengan perpindahan ke Harimau Selatan untuk beraksi dalam kancah Liga M musim ini.
“Tidak betul. Saya akan terbang ke tempat lain,” kata pemain warisan Harimau Malaya yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen untuk beraksi dengan skuad kebangsaan itu.
Sebelum ini terdapat dakwaan di media sosial bahawa JDT bakal mengumumkan ketibaan seorang lagi pemain warisan yang sudah bebas daripada hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dakwaan itu mencetuskan persoalan dan mendapat reaksi daripada segelintir penyokong dengan ada yang mula mengaitkannya dengan Facundo Garces, Imanol Machuca dan Holgado.
Semakan di laman transfermarkt bagaimanapun menunjukkan Garces masih mempunyai kontrak bersama kelab Sepanyol, Deportivo Alaves hingga Jun 2028, manakala kontrak Machuca dengan CA Independiente hingga Disember 2029.
Hanya Holgado tidak mempunyai baki kontrak yang panjang apabila kontraknya bersama kelab Coquimbo Unido akan berakhir hujung bulan depan.
Holgado sebelum ini dikaitkan dengan DPMM FC selepas kelab Brunei yang turut beraksi dalam Liga M itu secara terbuka menyatakan minat untuk mengikat penyerang berkenaan.
Untuk rekod empat pemain warisan sudah menyertai JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang sebelum ini turut dikenakan penggantungan 12 bulan oleh FIFA susulan isu pemalsuan dokumen. – UTUSAN











