PETALING JAYA: Harimau Malaya memerlukan seorang pemain tengah yang berkualiti untuk mengemudi jentera tengah dengan lebih baik ketika berdepan Yaman di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, hari ini.
Kegagalan untuk menguasai bahagian tengah membawa padah kepada Harimau Malaya apabila tewas 0-2 kepada China dalam aksi persahabatan pertama Sabtu lalu dan untuk berdepan Yaman, perubahan besar perlu dilakukan.
Biarpun berada di ranking lebih baik berbanding Yaman, Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah kekuatan lawan dan pastinya bahagian tengah negara perlu lebih kreatif untuk menjadi penghubung antara pertahanan dan serangan.
Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak menafikan kekurangan telah menjejaskan corak permainan pasukan, terutama ketika berdepan tekanan serta kelebihan fizikal dan taktikal yang dimiliki lawan.
“Kalau kita lihat perlawanan menentang China, memang kita tahu kelemahan dan kekuatan kita. Pemain sudah menunjukkan satu prestasi yang terbaik dan kita lihat banyak positif daripada negatif.
“Namun sudah pasti kita kena bersedia menentang perlawanan seterusnya menentang Yaman nanti. Kita merasakan mungkin kekurangan di bahagian tengah sedikit sebanyak menjejaskan pengawalan bola ketika menentang China.
“Tetapi saya rasa penting untuk memberi peluang kepada pemain-pemain untuk memberi mereka pengalaman bermain di peringkat antarabangsa terutamanya menentang pasukan China yang yang begitu kuat dengan dari segi fizikal dan juga taktikal mereka,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi Yaman, Cheng Hoe mengakui kekalahan kepada China memberi kesan terhadap keyakinan pemain, namun percaya anak buahnya dapat mempelajari sesuatu untuk cuba tampil lebih baik.
Katanya, prestasi yang dipamerkan anak buahnya pada babak kedua ketika menenang China menampilkan perubahan ketara berbanding separuh masa pertama yang dikuasai tuan rumah.
“Saya rasa pemain sudah dapat pengalaman dan juga momentum terutamanya semasa bermain baik di separuh masa kedua.
“Kita akan teruskan momentum kita dan ingin dapatkan kemenangan ke atas Yaman kerana ia akan memberikan keyakinan kepada kita untuk cabaran akan datang,” katanya.
Berdasarkan lima pertemuan terdahulu yang direkodkan FIFA, Malaysia berjaya mencatatkan empat kemenangan berbanding hanya satu kekalahan tanpa sebarang keputusan seri ketika berdepan Yaman. – UTUSAN











