MADRID: Kemenangan ke atas Sepanyol bukan sekadar menambah satu lagi keputusan positif buat England, sebaliknya memberi gambaran jelas mengenai perkembangan identiti permainan yang cuba dibentuk Thomas Tuchel sejak mengambil alih pasukan itu.
Pengendali Three Lions itu menyifatkan kejayaan 3-2 di Stadium Metropolitano sebagai bukti kemampuan sebenar England, malah menganggap persembahan tersebut paling lengkap sepanjang tempoh kendaliannya setakat ini.
Keyakinan itu bukan hadir tanpa alasan apabila England mempamerkan penguasaan permainan selama 60 hingga 65 minit pertama sebelum membina kelebihan tiga gol menerusi Harry Kane, Ezri Konsa dan Ben White.
“Ini tentunya kemenangan yang membuktikan kemampuan kami. Saya gembira melihat pemain begitu yakin, dan saya sendiri turut merasakannya,” kata Tuchel selepas perlawanan.
Namun, ujian sebenar buat England hadir selepas Elliot Anderson dilayangkan kad merah pada babak kedua, sekali gus memaksa mereka mengharungi baki perlawanan dengan kekurangan seorang pemain.
Sepanyol kemudian mengambil kesempatan menerusi jaringan Mikel Oyarzabal dan Nico Williams, tetapi England berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat meskipun diasak hebat tuan rumah.
Tuchel mengakui pasukannya beraksi pada tahap tinggi sebelum insiden kad merah itu, malah percaya kelebihan 3-0 yang dimiliki ketika itu memang layak diperoleh berdasarkan mutu permainan dipamerkan.
“Kami sedar betapa baiknya permainan kami selama 60 hingga 65 minit sehingga mendahului 3-0, dan kami sememangnya layak memperoleh kelebihan itu,” katanya.
Beliau berkata, kad merah dan sepakan penalti mengubah rentak perlawanan, menyebabkan England terpaksa memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha bertahan sepanjang setengah jam terakhir.
“Bermain 30 minit menentang Sepanyol di tempat mereka terasa seperti tiga jam, tetapi pemain tahu betapa hebatnya persembahan mereka dan mengapa kemenangan ini amatlah penting,” katanya. – AGENSI











