PKBM mahu nama besar dari luar negara bimbing skuad trek berbasikal

PKBM mahu nama besar dari luar negara bimbing skuad trek berbasikal

Amarjit Singh Gill
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil keputusan memansuhkan jawatan Pengarah Teknikal yang sebelum ini disandang John Beasley, sekali gus membuka laluan kepada pelantikan jurulatih berprestasi tinggi dari luar negara.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif (Exco) semalam sebagai langkah memperkukuh hala tuju skuad berbasikal trek kebangsaan selepas pemergian Beasley.

Menurutnya, jawatan Pengarah Teknikal akan digantikan dengan Jurulatih Berprestasi Tinggi (High Performance Coach) yang bakal memainkan peranan penting dalam meningkatkan pencapaian pelumba negara di pentas antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan ini dicapai secara sebulat suara. Exco PKBM berpendapat jawatan Pengarah Teknikal yang kali terakhir dipegang oleh John Beasley akan dimansuhkan.

“Mesyuarat Exco semalam telah bersetuju untuk mencari High Performance Coach daripada luar negara. Kami mahu mencari ‘High Performance Coach’ luar negara untuk gantikan John Beasley,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, keputusan mengenai pemansuhan jawatan itu serta usaha mendapatkan jurulatih baharu akan dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak berkepentingan.

Beliau turut mengakui bukan mudah untuk mencari pengganti yang mampu menyamai pencapaian Beasley sepanjang hampir dua dekad membimbing skuad trek negara.

“Saya harap keputusan ini akan memberikan sinar baharu kepada pasukan trek berbasikal Malaysia. Saya tahu bukan mudah untuk cari pengganti sehebat John Beasley. Saya mesti tekankan bahawa PKBM sangat terhutang budi kepada John Beasley.

“Jasa dan budi John Beasley adalah terlalu besar. Memang benar kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Saya juga mesti tegaskan bahawa adalah sukar untuk gantikan John Beasley.

“Bagaimanapun, kita mesti berdamai dengan takdir. Kita mesti cari pengganti John Beasley. Kita mesti segera gantikan John Beasley, dan kali ini PKBM akan mencari ‘High Performance Coach’ daripada luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, Amarjit menegaskan PKBM mahu mendapatkan jurulatih antarabangsa yang mempunyai reputasi tinggi serta berkemampuan membawa skuad berbasikal trek negara ke tahap lebih kompetitif.

“‘High Performance Coach’ ini mestilah seorang jurulatih yang sangat ternama dan boleh membawa skuad trek negara ke tahap yang lebih dinamik dan bertenaga. Saya percaya PKBM boleh cari pengganti John Beasley.

“Saya yakin Malaysia mempunyai potensi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Datuk Mohd. Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin, Fatehah Mustafa, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri,” katanya.

Terdahulu, Beasley secara rasmi menamatkan perkhidmatannya bersama skuad trek kebangsaan pada 31 Oktober lalu selepas menyerahkan surat peletakan jawatan pada 1 Ogos dengan memberikan notis tiga bulan sebelum meneruskan kerjayanya di Jepun.

Jurulatih kelahiran Australia itu mula membimbing skuad trek negara pada 1 Januari 2006 dan berjaya melahirkan ramai pelumba berkelas dunia, termasuk Azizulhasni, Rizal, Josiah Ng, Fatehah Mustapa, Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini