LONDON: Pejabat Perdana Menteri United Kingdom (UK) di Downing Street menegaskan Andy Burnham menulis sendiri sebahagian besar teks ucapannya susulan kontroversi penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT oleh pembantunya bagi menyemak draf ucapan.
Kontroversi itu tercetus selepas seorang anggota pasukan Perdana Menteri dirakam meminta maklum balas ChatGPT mengenai draf ucapan untuk persidangan Parti Buruh Wales pada Sabtu lalu.
Aplikasi AI itu dilaporkan mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi menjadikan penyampaian ucapan berkenaan lebih beremosi.
Gambar yang disiarkan akhbar Mail on Sunday memaparkan pembantu terbabit sedang menyemak teks ucapan menggunakan aplikasi berkenaan ketika menaiki kereta api dari stesen London Euston menuju Holyhead. Beliau turut dilihat menikmati minuman Prosecco.
Jurucakap Downing Street berkata, Burnham menulis sendiri kebanyakan ucapannya, manakala pembantu berkenaan hanya mendapatkan pandangan kedua terhadap draf yang sudah lengkap.
Malah, cadangan yang dihasilkan ChatGPT itu tidak digunakan dalam ucapan rasmi Burnham pada persidangan berkenaan.
Menurut laporan akhbar itu, ChatGPT memberikan maklum balas positif terhadap perenggan kedua draf ucapan berkenaan, khususnya mengenai hubungan antara golongan pelombong, keluarga dan komuniti dalam membentuk ikatan sosial di luar tempat kerja.
Dalam ucapannya, Burnham menyentuh peranan sektor perindustrian dalam memupuk semangat kekitaan selain menghargai sumbangan pekerja di Wales yang membangunkan infrastruktur sosial seperti kelab pekerja, pasukan sukan, koir dan kesatuan sekerja.
Beliau turut mengkritik legasi pentadbiran bekas Perdana Menteri, Margaret Thatcher, pada 1980-an yang didakwa melaksanakan dasar penswastaan serta menutup lombong dan kilang keluli sehingga menjejaskan kehidupan komuniti di seluruh Britain selama empat dekad.
Sementara itu, Pengerusi Reform UK, Lee Anderson, mengambil kesempatan menyindir insiden berkenaan dengan berseloroh bahawa tugas menulis ucapan begitu meletihkan sehingga memerlukan minuman untuk menghilangkan dahaga.
Anderson turut menggelarkan pemimpin Parti Buruh itu sebagai ‘AI Andy’ dan mendakwa imej pemimpin berjiwa rakyat yang cuba ditonjolkan Burnham selama ini hanyalah sandiwara. -AGENSI











